Malaysia Dateline

Hutang negara pada tahun lalu berjumlah RM1.09 trilion

Jawatankuasa Pilihan Khas Bajet (JKPK Bajet), mengesahkan hutang negara pada tahun lalu, berdasarkan perakaunan akruan adalah berjumlah RM1.090 trilion berbanding RM1.087 trilion pada tahun sebelumnya.

Pengerusinya, Datuk Seri Mustapha Mohamed berkata, ia termasuk RM741 bilion hutang kerajaan Persekutuan, RM132.7 bilion membabitkan jaminan pinjaman yang ditanggung kerajaan, RM32.2 bilion hutang bersih 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak termasuk faedah dan liabiliti lain berjumlah RM184.9 bilion.

“Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) telah mengeluarkan manual Public Sector Debt Statistics yang berasaskan perakaunan akruan pada 2011. Manual itu menekankan pelaporan liabiliti yang menyeluruh, merangkumi kesemua hutang dan obligasi kerajaan.

“Pelaporan hutang dan liabiliti di bawah manual ini bukan sahaja merangkumi hutang kerajaan Persekutuan, malah liabiliti bagi entiti berkaitan kerajaan (quasi-government) dan liabiliti luar jangka meliputi pinjaman yang dijamin oleh kerajaan,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, Mustapha berkata kerajaan telah beralih kepada perakaunan akruan sejak 2011 selaras dengan manual yang dikeluarkan IMF berkenaan Perangkaan Hutang Sektor Awam yang menggunakan asas tersebut.

“Perakaunan akruan perlu melihat kepada asset dan liability sepenuhnya termasuk tanggungan masa depan berbanding tunai yang hanya melihat kepada transaksi sahaja.

“Perbezaan dahulu dan sekarang, jawatankuasa ini berkeputusan kita perlu mengambil kira liability kerana ia merupakan tanggungan kerajaan yang perlu dibayar,” katanya.

Jawantankuasa tersebut turut dianggotai oleh Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad; Ahli Parlimen Wangsa Maju, Datin Paduka Dr Tan Yee Kew; Ahli Parlimen Kuching, Dr Kelvin Yii Lee Wuen; Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong; Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Ahli Parlimen Kapit, Datuk Alexander Nanta Linggi.