Hutang negara terlalu banyak, Imran Khan seru rakyat menyumbang bina empangan

Hutang negara terlalu banyak, Imran Khan seru rakyat menyumbang bina empangan

Perdana Menteri Pakistan Imran Khan, Jumaat lalu menyeru rakyat negara itu terutama mereka yang berada di luar negara supaya menyumbang bagi membina empangan baharu.

Dalam ucapan khasnya kepada seluruh rakyat, Imran menyifatkan krisis air yang dihadapi Pakistan sekarang sebagai cabaran terbesar yang dihadapi negara itu.

Beliau memberi amaran sekiranya empangan bagi tadahan air baharu tidak dibina dalam masa tujuh tahun, negara itu akan menghadapi situasi seperti kemarau.

“Rakyat Pakistan di luar negara, terutama yang tinggal di Eropah, perlu menyumbang sekurang-kurangnya $100 untuk tujuan tersebut,” kata Imran menurut laporan The Express Tribune.

Jelas Imran, tidak ada negara luar bersedia meminjamkan wang kepada Pakistan untuk membina empangan kerana hutang luar negara itu terlalu tinggi.

“Saya telah diberi taklimat oleh pelbagai jabatan kerajaan tentang cabaran yang dihadapi Pakistan berhubung ekonomi dan dan sumber tenaga.

“Tetapi menurut pandangan saya, cabaran terbesar yang dihadapi negara ini adalah masalah air,” kata beliau.

Beliau berkata, sejak merdeka, setiap rakyat Pakistan berupaya menggunakan 5,600 cubic meter air tetapi sekarang ia telah berkurangan kepada 1,000 cubic meter.

Berhubung kapisiti bekalan air negara itu, Imran berkata, bekalan air yang terdapat dalam simpanan boleh bertahan selama 30 hari.