Hutang PTPTN dihapus ganti dengan biasiswa untuk B40, M40

Oleh ARIF ATAN

Parti Kuasa Rakyat akan menghapuskan hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan digantikan dengan biasiswa membabitkan golongan B40 dan M40.

Hal itu antara yang akan diperjuangkan oleh parti politik baharu tersebut yang secara rasmi dilancarkan hari ini ini dengan matlamat mahu menyertai Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Presiden Penajanya Kamarazaman Yaakob, yang juga abang kepada Perdana Menteri Ismail Sabri, ketika berucap dalam pelancaran parti tersebut hari ini, berkata Parti Kuasa Rakyat melibatkan pelbagai kaum termasuk Sabah dan Sarawak.

Menurutnya, Parti Kuasa Rakyat yang merupakan parti berbilang kaum berteraskan perjuangan golongan B40, M40, rakyat marhaen, alam sekitar, keadilan sosial dan hak asasi manusia.

Kamarazaman Yaakob

Jelas Kamarazaman, 70, parti pimpinannya itu akan memperjuangkan pelajaran percuma, kesihatan percuma, rumah percuma serta peluang pekerjaan terutamanya kepada golongan B40 dan M40.

“Parti Kuasa Rakyat juga akan memberi kuasa autonomi kepada ahli di Sabah dan Sarawak.

“Mereka bukan hanya diberi kebebasan memilih kepimpinan peringkat negeri, juga memilih wakil di dalam jawatankuasa pusat bagi memenuhi kuota yang bermula dari jawatan timbalan presiden, naib presiden,” katanya.

Lebih 50 penyokong hadir ketika majlis pelancaran parti baharu yang mesra kerajaan itu petang tadi.

Untuk rekod, PRU-15 akan diadakan selewat-lewatnya Julai tahun depan.

Senarai barisan penaja Parti Kuasa Rakyat:

Presiden
Kamaruzaman Yaakob

Jawatankuasa Penaja
Nik Abdul Aziz Nik Hassan
Gabriel Walter
Gobalakrishnan Nagapan
Mohamad Nasir Saludin
Hamzah Jaaffar
Anas Yusof Sulaiman
Sahandri Gani Hamzah
Helmi Ibrahim
Razali Abd Razak
Suharmili Rosle
Ching Eu Boon

LANJUT MENYUSUL