Malaysia Dateline

Hutang tinggi sejak era BN, anak syarikat TH Plantations dijual

Akhir-akhir ini, anggota kerajaan Perikatan Nasional (PN) menyerang Pakatan Harapan (PH) berkaitan penjualan anak-anak syarikat Tabung Haji Plantations (THP) iaitu Bumi Suria Ventures Sdn Bhd dan Maju Warisanmas Sdn Bhd.

Serangan ini tidak berasaskan fakta sebenar tetapi menjurus kepada persepsi yang cuba dimainkan. Justeru, saya ingin memberikan penjelasan secara ringkas bagaimana kepincangan pengurusan THP di tangan BN yang menyebabkan syarikat ini terbeban dengan hutang yang terlalu tinggi.

Beban hutang yang ditanggung terlalu tinggi ini telah memberikan kesan kepada aliran tunai syarikat perladangan tersebut. Perkara ini diakui sendiri oleh pihak pengurusan THP dalam Laporan Tahunan 2017.

Pada tahun 2013 di bawah pentadbiran BN, THP telah meningkatkan pembelian ladang-ladang secara agresif di mana jumlah keluasan ladang meningkat mendadak daripada 49,000 hektar ke 98,000 hektar dalam tempoh setahun dan menjadi keseluruhan keluasan 101,000 pada tahun 2017.

THP terpaksa membiayai pelaburan agresif ini dengan meminjam wang pendeposit TH melalui Sukuk Mudarabah jangka sederhana bernilai RM1.2 bilion. Jumlah hutang yang tinggi ini memberikan persepsi berisiko tinggi kepada pelabur sehingga menyebabkan nilai saham THP menjunam daripada RM2.61 seunit saham pada hujung April 2012 kepada hanya 75 sen pada hujung April 2018.

Akibat pembelian drastik ini, liabiliti THP telah meningkat kepada RM1.6 bilion pada 2013 dan terus meningkat lebih teruk pada tahun 2017 sebanyak RM1.8 bilion. Akibatnya, THP terpaksa membelanjakan RM24 juta sebagai bayaran faedah tahunan atas pinjaman tersebut pada tahun 2013.

Jumlah ini terus meningkat RM65 juta pada 2013. Peningkatan hutang ini turut menjejaskan aliran tunai syarikat tersebut sedangkan bagi sebuah syarikat yang terdedah kepada turun naik harga komoditi sawit, aliran tunai yang kukuh adalah sangat penting.

THP juga berhadapan masalah prestasi operasi yang tidak efektif. Walaupun THP kaya dengan aset ladang, namun aset-aset ini tidak memberikan pulangan yang optimum.

Pada 2017, walaupun keluasan aset ladang syarikat tersebut adalah 101,000 hektar, hanya kurang daripada 70,000 hektar telah ditanam sawit iaitu lebih kurang 69 peratus sahaja. Ini jauh berbeza pada tahun 2011 sebelum pembelian drastik ini di mana keluasan tanah yang ditanam sawit adalah sebanyak 90 peratus.

Antara pelaburan-pelaburan gagal THP adalah pelaburan dalam anak syarikat Bumi Suria Ventures Sdn Bhd dan Maju Warisanmas Sdn Bhd. Semasa pembelian dua syarikat ini, pada harga RM264.2 juta, THP menjangkakan pengeluaran 569,020 tan metrik buah tandan segar sawit (fresh fruit bunch) antara 2014 hingga 2018.

Namun, jangkaan ini telah meleset dan hanya 181,212 tan metrik dikeluarkan atau 68 peratus lebih rendah daripada jangkaan asal.

Selain itu, pembelian dua syarikat ini sepatutnya melibatkan kawasan ladang boleh ditanam sawit seluas 5,700 hektar. Namun, tinjauan THP ketika pentadbiran PH mendapati hanya 4,800 hektar boleh ditanam sawit.

Ini menjadikan nilai sebenar yang sepatutnya dibayar pada 2013 hanyalah sebanyak RM183 juta dan bukannya RM264.2 juta iaitu 30 peratus lebih rendah daripada harga yang telah dibayar THP.

Atas sebab itu, pentadbiran PH terpaksa mengambil langkah drastik menjual dua anak syarikat bagi menyelamatkan THP dan seterusnya menjaga kepentingan pendeposit TH yang memegang 74 peratus saham THP.

Penjualan dua syarikat ini pada harga RM170 juta adalah wajar memandangkan hutang terkumpul mereka mencecah RM243 juta pada 2018.

Kesannya, hasil tunai penjualan ini sebanyak RM170 juta akan digunakan untuk membayar sebahagian hutang THP dan seterusnya menjimatkan kos operasi tahunan THP sebanyak RM9.41 juta.

Jelas, pelupusan pelaburan ini adalah satu keputusan korporat untuk menyelamatkan THP daripada beban hutang yang cukup tinggi. THP kekal milik pendeposit Muslim dan tidak dijual kepada mana-mana pihak.

 

Mengelirukan rakyat

Di samping itu, dakwaan anggota PN bahawa tanah sawit yang dijual pada jumlah RM4,500 sehektar adalah tidak tepat. Hakikatnya, berdasarkan harga jualan RM170 juta bagi 6,514 hektar keluasan tanah dua syarikat ini, nilaian tanah dijual adalah RM26,098 sehektar.

Dakwaan ini benar-benar mengelirukan rakyat sedangkan Timbalan Menteri Hal Ehwal Agama PN seharusnya memberikan jawapan yang jujur di dalam Parlimen.

Dakwaan anggota PN bahawa PH menjual aset TH kepada orang bukan Melayu juga tidak berasas kerana ianya dijual kepada pembida berjaya iaitu Tamaco Plantation Sdn Bhd yang menawarkan harga paling tinggi melalui proses tender.

Walau bagaimanapun, penjualan ini masih belum dimuktamadkan kerana memerlukan kelulusan Unit Perancang Ekonomi (EPU). Jadi, keputusan menjual aset ini kepada Tamaco adalah di tangan kerajaan PN sekarang.

Penjualan aset yang sedang rugi ini adalah langkah biasa dalam sistem ekonomi dan suatu keputusan korporat. Tindakan yang sama juga pernah diambil kerajaan BN yang menjual THP Gemas Sdn Bhd kepada Dupont & Leosk Enterprise Sdn Bhd yang dimiliki individu Cina.

Pada zaman PN sekarang pula, Khazanah Nasional Bhd pula menjual sahamnya dalam TNB. Ironinya, penjualan aset-aset ini didiamkan sahaja oleh anggota PN sedangkan langkah penjualan aset THP oleh PH diapi-apikan dengan sentimen Melayu.