‘Najib boss mu, bukan boss ku’, sindir Azmin kepada Hishammuddin

‘Najib boss mu, bukan boss ku’, sindir Azmin kepada Hishammuddin

Kenyataan bekas Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang menyifatkan Datuk Seri Najib Razak sebagai seorang yang berani kerana ingin membuat kenyataan bersumpah di mahkamah, disinis Azmin Ali.

”Itu pandangan ahli terhadap presidennnya, biarlah.. itu bukan presiden saya.. itu boss mu, bukan boss ku,” katanya sambil tersenyum ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Hari ini, Ahli Parlimen Sembrong (Hishammuddin) ketika ditemui di lobi Parlimen berkata, Najib mengambil langkah berani apabila Mahkamah Tinggi semalam mengarahkan Najib membela diri, membuktikan beliau masih tidak bersalah selagi tidak dibuktikan bersalah.

“Kita kena lihat proses mahkamah dan Najib juga sudah membuat keputusan untuk membuat kenyataan bersumpah mahkamah dan diberikan ruang disoal balas pendakwaan. Itu satu keputusan yang tepat dan berani,” kata Hishammuddin.

Dalam pada itu, ketika diminta mengulas mengenai dakwaan yang dikeluarkan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Lokman Noor Adam bahawa Perdana Menteri mencampuri urusan mahkamah, Azmin menyangkal dakwaan tersebut.

Beliau berkata, Tun Dr Mahathir dan juga pihak kerajaan berpegang kepada prinsip ‘The Rule of Law’ dan tidak mencampuri urusan mahkamah.

“Sebab itulah kalau mahkamah nak tangguh atau lewatkan sidang atas macam-macam alasan yang diberikan oleh tertuduh, itu terpulang kepada pihak mahkamah.

“Kita harus menghormati keputusan mahkamah dan sesiapa yang telah dipanggil untuk membela diri, beliau masih ada ruang untuk berbuat demikian, dan ini proses yang harus dilalui oleh semua pihak.

“Saya melalui proses yang sama puluhan tahun, tapi biarlah mahkamah yang menentukan sama ada seseorang itu bersalah atau tidak, bukan pencacai seperti yang disebut itu yang cuba menghukum perdana menteri,” ujar Azmin yang juga merupakan Menteri Hal Ehwal Ekonomi.