Malaysia Dateline

i-Citra: Dengar rintihan rakyat bukan nasihat Zafrul, kata Pemuda Umno kepada PM

Susulan kerajaan tidak berhasrat meluluskan pengeluaran wang daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berjumlah RM10,000, Pemuda Umno membidas kerajaan agar tidak mendengar nasihat daripada Menteri Kewangan.

“Dengarlah rintihan rakyat, usahlah dengar nasihat Tengku Zafrul Menteri Kewangan,” kata Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Beliau berkata, bantuan RM1,000 tidak mencukupi terutamanya bagi mereka yang mengalami musibah banjir, apatah lagi jika hendak bergantung kepada pendekatan memberikan pinjaman.

“Alasan yang diberikan untuk menafikan pengeluaran KWSP sama sahaja dengan alasan waktu kami bersemuka dengan Menteri Kewangan apabila beliau mempertahankan pendirian untuk tidak membenarkannya waktu PKP 1.0 lagi.

“Pemuda Umno telah cuba sedaya mampu melalui pelbagai cara membawa suara rakyat termasuklah bertemu sendiri dengan CEO KWSP, Menteri Kewangan bahkan PM sendiri,” kata beliau.

Bagaimanapun, beliau menaru harapan agar kenyataan itu bukan keputusan akhir perdana menteri dan menteri kewangan.

“Dengarlah rintihan rakyat yang mahukan bantuan i-Citra ini, lebih-lebih lagi terlalu ramai yang mahu kembali memulakan kehidupan dan perniagaan akibat terkesan dengan musibah yang melanda,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri berkata, kerajaan sudah memperuntukkan dana dan mengumumkan bantuan yang mencukupi untuk membantu mangsa banjir di seluruh negara, selain sedia menambah peruntukan berkenaan.

Selain itu, katanya, kerajaan bimbang dengan jumlah baki simpanan dalam akaun pencarum KWSP susulan dua kali pengeluaran menerusi i-Sinar dan i-Citra, dengan ada antaranya berisiko menjadi miskin tegar selepas pencen.