‘I help you, you help me’

‘I help you, you help me’

Nampaknya slogan ‘I help you, you help me’ yang dipopularkan perdana menteri kerajaan sementara Datuk Seri Najib Razak diamalkan ketika kempen pilihan raya.

Namun ia bukan membabitkan peruntukan wang ringgit seperti amalan BN, tetapi khidmat percuma penduduk kepada calon pilihan raya yang penat berkempen.

Calon PKR N13 Kuang Salleh Amiruddin mendapat layanan istimewa ketika berkempen di Bandar Tasik Puteri, Rawang malam tadi.

Mengadu sakit di bahagian leher ketika berucap dalam majlis ceramah kelompok di pusat gerakan pilihan raya PKR BTP 16, pengacara majlis Mohamad Amri Majid meminta bantuan seorang penduduk yang berkemahiran mengurut untuk membantu melegakan kesakitan ditanggung Salleh.

Seusai berucap Salleh di bawa ke tepi khemah untuk diurut di bahagian bahu, kepala dan belakang badan oleh penduduk yang dikenali sebagai Abdul Hadi.

Urutan Abdul Hadi melegakan kesakitan ditanggung Salleh dan calon PKR itu kemudian berbual santai bersama hadirin sebelum pulang lewat tengah malam.

Ketika berucap, Salleh yang juga ketua penerangan PPBM Selangor menjelaskan janji beliau jika dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuang.

Antara yang bakal diusahakan oleh beliau adalah pembinaan dewan komuniti dan menaik taraf pengangkutan awam khususnya perkhidmatan bas di Bandar Tasik Puteri.