Ibadah zakat semarakkan ‘rasa kemanusiaan’

Ibadah zakat semarakkan ‘rasa kemanusiaan’

Umat Islam harus menghayati tujuan akhir pensyariatan (maqasid syariah) zakat fitrah, yang wajib ditunaikan dalam tempoh bulan Ramadan sehingga sebelum menunaikan solat sunat Aidilfitri pada 1 Syawal nanti, kata Timbalan Ketua Menteri I Dato’ Mohd. Rashid Hasnon.

Beliau berkata, menyemarakkan rasa kemanusiaan dengan menunaikan zakat fitrah, zakat harta serta memperbanyak sedekah merupakan sebahagian daripada maksud beragama yang dituntut dalam Islam.

“Membantu golongan terpilih ini bukan sahaja tuntutan agama, malah tuntutan kemanusiaan,” katanya seperti dipetik portal rasmi Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Buletin Mutiara.

Beliau berkata demikian dalam majlis penyampaian ‘Sumbangan Ramadan’ kepada golongan asnaf di sekitar Masjid Jamek Prangin, Pulau Pinang, kelmarin.

Mohd. Rashid yang juga Exco Pembangunan Industri, Perdagangan Antarabangsa, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Perhubungan Masyarakat juga berkata,  tujuan akhir syariat bagi zakat dan sedekah di antaranya demi menyambung persaudaraan dan kemanusiaan sesama umat Islam.

Justeru katanya, setiap masjid di negeri ini perlu mengambil peranan membela nasib asnaf terpilih dalam kariah masing-masing, serta tidak wajar menyerahkan tanggungjawab itu sepenuhnya kepada Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) serta Zakat Pulau Pinang (ZPP).

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd. Rashid berkata, kerajaan negeri turut memperkenalkan program Agenda Ekonomi Saksama (AES) untuk mencukup pendapatan bulanan isi rumah minimum RM790 dan berharap mereka yang layak segera memohon bantuan tersebut.

Sebelum majlis berbuka puasa, Mohd. Rashid yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak turut menyampaikan 50 hamper serta beras daripada sumber zakat ZPP kepada para penerima.

Pada majlis sama, pemilik Sayang One Stop Travel Solution Sdn. Bhd., Datuk Mohamed Aswan Seeni Mohamed Nizalath turut memberi sumbangan berupa wang tunai kepada para penerima terpilih berkenaan.

Majlis tersebut turut disertai Penghulu Mukim Parlimen Tanjong, Amiruddin Mohd. Kasim, wakil Persatuan Muslim Tanjung Pulau Pinang (PELITA) Mohamed Nasir Mohideen, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kariah Masjid Jamek Prangin, Jalaludin Ghani serta beberapa bekas Ahli Majlis MAINPP.

Sementara itu, Pengerusi Masjid Jamek Prangin Saidin Yusof dalam ucapannya merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri dan Exco Hal Ehwal Agama Islam, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Abdul Malik Abul Kassim serta beberapa dermawan yang menjayakan projek renovasi Masjid Jamek Prangin baru-baru ini.

Katanya, Jawatankuasa Kariah Masjid Jamek Prangin masih memerlukan RM5,000 untuk membiayai baki kos pemasangan permaidani dalam dewan solat utama di sini.

COMMENTS

Wordpress (0)