Malaysia Dateline

IBR Pilihan Raya Pas ambil pendirian tunggu dan lihat

 Datuk Mohd Amar Nik Abdullah
Datuk Mohd Amar Nik Abdullah

Pas mengambil pendirian ‘tunggu dan lihat’ dengan langkah terbaharu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mahu memperkenalkan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) khas sempena pilihan raya umum ke-14 (PRU14), kata Naib Presidennya Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

” Pas mengambil sikap tunggu dan lihat. Buatlah dulu, nak jawab setuju ataupun tidak benda kena buat dulu… silap-silap tak jadi. (Tapi bagi Pas sendiri) kita memang sudah ada kaedah iaitu baiah terutama untuk mengikat calon supaya tidak menyeleweng dan tidak salah guna kedudukan.

“Baiah itu diputuskan oleh parti dan diluluskan oleh Majlis Syura Ulama.

Memang setiap kali PRU, hatta pilihan raya kecil (PRK) pun calon mesti berbaiah,”katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Exco di Kompleks Kota Darul Naim hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai cadangan Ketua Pesuruhjaya SPRM , Tan Sri Dzulkifli Ahmad,semalam, yang tidak menolak kemungkinan melaksanakan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) khas sempena Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Beliau dipetik berkata pihaknya bersedia memberikan kerjasama sekiranya parti-parti politik bertanding memohon untuk melaksanakan IBR.

Beliau berkata, meskipun tiada undang-undang yang memperuntuk supaya mereka berbuat demikian, namun pihaknya sentiasa mengalu-alukan parti politik untuk menyatakan ikrar mereka membanteras gejala rasuah.

Ditanya mengenai  cadangan kerajaan untuk menjalankan kajian bagi memperkenalkan undang-undang mengekang berita palsu yang menjadi ancaman kepada kestabilan politik dan ketenteraman awam Mohd Amar berkata, usaha kerajaan amat tepat pada masanya memandangkan terlalu banyak berita palsu yang tersebar ketika ini terutama menggunakan platform media sosial.

“Islam sendiri menekankan maklumat itu mesti benar, (namun) banyak media-media sosial menyiarkan maklumat tidak benar, mengelirukan masyarakat dan mencetuskan perspesi negatif dalam kalangan masyarakat,” katanya .

Pada Sabtu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dilaporkan sebagai berkata, kerajaan akan mengkaji perkara itu kerana rakyat boleh terpesong sehingga membenci kerajaan atau melakukan sesuatu seperti merusuh kerana terpengaruh dengan berita palsu.