Malaysia Dateline

Ibrahim Ali cadang Ku Li jadi PM kerajaan perpaduan

Bekas pengikut dan orang kanan Tengku Razaleigh Hamzah mencadangkan agar Ahli Parlimen Gua Musang itu dilantik mengetuai ‘kerajaan perpaduan’ (unity government) bagi menyelesaikan masalah yang sedang melanda negara sekarang.

Dalam ucapan yang dibuat melalui media sosial, Presiden Parti Putra itu berkata, dengan cara ini, negara boleh ditadbir dengan aman dan berkesan di mana semua pihak berada di dalamnya.

“Beliau tidak kontroversi, kakitangan kerajaan menghormati beliau. Orang Melayu, Cina dan India selesa dengan Tengku Razaleigh.

“Jadi dia calon terbaik untuk dipertimbangkan,” kata Ibrahim yang pernah menjadi Ahli Parlimen selama tiga penggal itu.

Bagaimanapun, ia perlu mendapat sokongan dari semua parti yang terlibat, katanya.

Selain cadangan itu, Ibrahim menyelar sikap Speaker Dewan Rakyat yang meminta Tengku Razalegh berunding dengan Datuk Takiyuddin Hassan, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang) untuk membolehkan usul undi tidak percaya dibahaskan di Dewan Rakyat.

“Siapa Takiyuddin ini sehingga dia perlu disembah untuk membolehkan usul tidak percaya dibuat. Memalukan,” kata Ibrahim kesal.

Semalam Tengku Razaleigh menyebarkan notis usul undi tidak percaya yang dikemukakan beliau 25 September lalu dan jawapan Speaker Dewan Rakyat yang berkata agenda kerajaan terpaksa didahulukan.