Malaysia Dateline

Ibrahim Ali cadang potong elaun ahli parlimen yang ada masalah kehadiran

Elaun persidangan, elaun tempat penginapan dan elauan lain seharusnya dipotong sepenuhnya jika Ahli Dewan Rakyat tidak berada di dalam dewan setiap hari dan masa persidangan yang kurang daripada 70 peratus.

Idea itu dicadangkan oleh Presiden Putra, Datuk Dr Ibrahim Ali kepada Pentabiran Parlimen melalui peranan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof.

Ia susulan, pada semalam, Timbalan Speaker, Nga Kor Ming terpaksa mengarahkan loceng Dewan Rakyat dibunyikan selama seminit, ekoran jumlah Ahli Parlimen tidak mencukupi sewaktu perbahasan Rang Undang-undang Pembekalan (Belanjawan) 2020.

Berhubung isu berkenaan, Dr Ibrahim menjelaskan, ini bermakna ahli parlimen yang terlibat dengan masalah kehadiran tidak berhak menerima apa jua bentuk elaun.

“Ahli-ahli parlimen hanya berhak menerima elaun dan lain-lain faedah mengikut hari kehadiran yang mesti tidak kurang daripada 70 peratus masa persidangan.

“Sebagai contoh, jika dewan bersidang selama 10 jam, maka kehadiran dalam dewan mesti tidak kurang dari 7 jam kecuali mempunyai kebenaran yang diluluskan oleh Speaker.

“Cuba bayangkan elaun hotel dan penginapan dibayar, tetapi ponteng Parlimen atau hadir untuk tunjuk muka.

“Paling menyedihkan, ada ahli parlimen hanya datang untuk daftar dan tunjuk muka. Kemudian tunjuk muka 15 minit hingga setengah jam dan pulang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru itu, Dr Ibrahim turut mencadangkan agar nama ahli parlimen yang ponteng secara berterusan, disiarkan di papan layar yang dipasang di lobi Parlimen sebagai makluman kepada pihak media dan juga orang ramai.

“Laporan Parlimen oleh media elektronik seperti televisyen juga patut menyebut nama-nama ahli parlimen yang hadir lebih dari 70 peratus masa setiap hari.

“Sehari selepas tamat sesi persidangan pula, Parlimen boleh mengeluarkan jumlah jam kehadiran setiap ahli parlimen kepada umum dan disiar oleh pihak media.

“Saya fikir itu sahaja cara untuk memastikan Dewan Persidangan ‘cukup korum’ sepanjang masa,” katanya lagi.

Dr Ibrahim turut menyatakan bahawa rekod kehadirannya ketika menjadi Ahli Parlimen pada 1986, 1990 dan 2008 hampir penuh.

“Rekod Parlimen boleh disemak. Saya nyatakan ini kerana kemungkinan nanti ada yang buat tuduhan bukan-bukan apabila saya menyuarakan perkara ini,” ujarnya.

Mengikut Peraturan 13(1) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat – Cukupbilang bagi Majlis Mesyuarat dan Jawatankuasa sebuah-buah Majlis Mesyuarat hendaklah mengandungi dua puluh enam orang ahli dengan tidak termasuk Pengerusi.

Jika siapa-siapa ahli menarik perhatian Pengerusi mengatakan tidak cukupbilang, maka hendaklah dipanggil ahli-ahli di luar Dewan Mesyuarat seolah-olah memanggil ahli kerana hendak diadakan belahbahagian.