Ibu Adib mahu pemukul, dalang rusuhan kuil dikenakan hukuman berat

Ibu Adib mahu pemukul, dalang rusuhan kuil dikenakan hukuman berat

Ibu anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd. Kassim berharap inkues yang akan diadakan dapat menentukan punca kematian sebenar anak keduanya itu.

Asma Aziz, 52, berkata, siasatan terperinci melalui inkues yang akan diadakan di Mahkamah Shah Alam, di Selangor bermula 18 Januari ini diharap dapat memberi keadilan buat Allahyarham.

“Saya juga berharap sangat agar pelaku yang memukul anak saya sehingga mati dikenal pasti dan dikenakan hukuman setimpal.

“Individu yang menjadi dalang kepada rusuhan itu juga perlu dikenakan hukuman berat,” katanya dipetik Utusan Online hari ini.

Untuk rekod, Adib disahkan meninggal dunia pada 17 Disember lalu akibat kecederaan dalaman dialaminya selepas dibelasah perusuh ganas di kawasan kuil Sri Maha Mariamman, Seafields, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu.

Terdahulu, Asma yang ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Tebengau Tepi Laut menerima kunjungan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin disusuli Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu.

Menurut Asma, beliau dan suaminya, Mohd. Kassim Abdul Hamid, 64, mengunjungi kubur anak mereka setiap hari selepas selesai menunaikan solat subuh di Masjid As-Saadah di Kampung Tebengau.

“Setiap hari saya tidak pernah lupa untuk mendoakan buat Muhammad Adib, tidak kira ketika berada di masjid mahupun di rumah,” jelasnya lagi.

Loading...