Malaysia Dateline

Ibu Ainul Mardhiah nafi buat hantaran minta derma atas nama anak, minta orang ramai jangan percaya ‘scammer’

ibu kepada adik Ainul Mardhiah yang sedang kritikal akibat jangkitan kuman, menafikan ada meminta apa-apa sumbangan dari mana-mana pihak untuk rawatan anaknya.

Nurul Erwani Zaidi dalam perkembangan terbaru di Instagram, meluahkan rasa kesal apabila mendakwa ada pihak tidak bertanggungjawab cuba mengambil kesempatan mengutip derma atas nama anaknya.

Dia juga meminta agar orang awam tidak percaya dengan ‘scammer’ tersebut selain menegaskan akan mengambil tindakan lanjut jika ada pihak yang meneruskan dengan penipuan tersebut.

“Tolong jangan percaya! Tolong jangan percaya! Wahai scammer tolonglah jangan gunakan kesempatan ini untuk kaut duit orang. Saya sebagai mak dia tak ada tulis dalam posting saya untuk minta sumbangan.

“Saya cuma minta doa orang ramai sahaja. Kalau jumpa di mana-mana posting berkaitan untuk minta sumbangan Ainul, tolong jangan percaya ya semua.

“Minta semua alert dengan perkara ini. Kalau ada dan saya jumpa, saya akan ambil tindakan lanjut. Terima kasih,” katanya.

Sejak semalam, orang ramai mendoakan kanak-kanak yang pernah menghidap kanser mulut Germ Cell Tumor, Ainul Mardhiah agar diberi kekuatan.

Media sosial dibanjiri ucapan buat anak kecil tersebut yang dilaporkan berada dalam keadaan agak tenat dan sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU).