“Ibu ayah pergi cari makan…” – Kanak-kanak seronok main bawah jambatan, warganet luah rasa sayu lihat keadaan mereka

Oleh MAISARAH AISYA

Siapa sahaja tidak mengimpikan untuk memberikan keselesaan buat anak-anak membesar namun tidak semua ibu bapa mampu melakukannya.

Lihat sahaja betapa polosnya anak-anak, asalkan bersama dengan ibu bapa sahaja sudah mampu buat mereka gembira.

Seorang pengguna TikTok, @khairulnizam1881 terkejut apabila menjumpai tiga kanak-kanak yang sedang bermain di bawah jambatan, rupanya mereka sedang menunggu ibu bapa.

“Terjumpa anak-anak ini bermain di tepi sungai dan bertanya mana mak ayah.

“Mereka cakap pergi cari makan untuk kami pakcik. Allah sedihnya bila mendengar kata-kata anak kecil ni,” ujarnya di ruangan kapsyen.

@khairulnizam1881

Terjumpa Anak2 ni bermain tepi sungai dan bertanya mana mak ayah.mereka cakap pergi cari makan untuk kami pakcik.Allah sedihnya bila mendengar kata2 anak2 ni..🥹 Bantulah Mereka di lokasi Bawah jambatan jalan motor sebelom tol awan besar arah klang. #prihatin #bantulahmereka #rakyatmalaysia #fypシ゚viral

♬ original sound – Bed Muo – Cik Bed Muo

Rata-rata warganet bersimpati dengan nasib satu keluarga itu dan mengharapkan ada pihak yang boleh membantu mereka.

“Lebih baik kita ramai-ramai bantu deposit bilik, yang penting tempat berteduh. Lepaskan bayar bilik tiga bulan dan suami (bapa kanak-kanak) boleh mula cari kerja.

“Entahlah barang makanan banyak dah naik harga. Beli beras 10 kilogram, minyak masak, gula dah nak dekat seratus. Macam manalah nak hadap masa akan datang,” antara komen warganet.

Pemilik TikTok bagaimanapun memaklumkan mereka sudah membantu dan memberikan keluarga tersebut tempat berteduh.

“Alhamdulillah.. semalam malam saya dan kawan pergi ambil keluarga ni dan tempatkan di bilik sewa sementara di Lembah Jaya Selatan,” ujarnya di bahagian komen.

Baca juga: Ini urutan takhta kerajaan Brunei Darussalam, giliran Putera Mateen lambat lagi rupanya!