Ibu bapa kepada Pegawai Kadet Laut, Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain mengakui sehingga kini trauma mahu menggunakan seterika mengenangkan penderitaan yang dialami arwah.
Allahyarham Zulfarhan yang juga penuntut di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), maut selepas terkena 90 tekapan seterika wap yang dilakukan oleh enam penuntut universiti itu.
Mengenangkan kejadian itu juga, ibu kepada Allahyarham iaitu Hawa Osman berkata, mereka suami isteri juga trauma setiap kali melihat UPNM.
“Jika keadaan tidak mendesak, selalunya anak lain akan menggosok pakaian kami, tapi kami tidak akan menggunakan seterika wap.
“Malah, saya dan suami trauma setiap kali melihat UPNM dan akan mengelak melalui jalan itu kerana di situ terletak kenangan yang mengguris hati,” katanya memetik Harian Metro.
Lapor portal itu lagi, Hawa bukan tidak reda dengan kematian anaknya, tetapi dia cuma tidak terima bagaimana cara arwah didera.
“Bukan tidak reda kematian anak, saya reda, cuma saya tidak boleh terima cara arwah didera,” katanya.
Hawa, 60, berkata, setiap kali mendengar kes buli berlaku pastinya dia akan menitiskan air mata.
“Setiap malam saya menangis, saya berharap pembuli-pembuli itu merasai sendiri kesakitan yang dilakukan terhadap mangsa,” ujarnya lagi.
Allahyarham Zulfarhan disahkan meninggal dunia pada 1 Jun 2017 akibat didera sekumpulan penuntut universiti berkenaan dan enam daripada mereka kini menjalani hukuman penjara 18 tahun.
Selain itu, 12 tertuduh yang lain juga kini menjalani hukuman penjara tiga tahun selepas didapati bersalah mencederakan Zulfarhan.
Ibu kepada empat anak itu berkata, dia tidak akan memaafkan mereka yang terbabit membuli anaknya sehingga akhir hayat.
“Saya berdoa kepada Allah SWT biarlah pelaku-pelaku itu mendapat balasan di dunia dan akhirat,” katanya.
Hawa berkata, walaupun enam tahun sudah berlalu, ingatan dan kenangan bersama anak lelakinya yang dipanggil Along itu masih tersemat dan mendatangkan kesedihan buatnya dan suami, Zulkarnain Idros, 59.
“Bukan berdendam tapi kesakitan kehilangan anak tersayang buat saya trauma, lebih-lebih lagi mengenang penderitaan anak yang ditekap seterika wap sebanyak 90 kali dan meninggal dunia keseorangan.
“Bayangkan, 90 kesan seterika di setiap tubuh anak termasuk kemaluannya, betapa sakitnya anak saya, disebabkan itu sangat sukar untuk saya memaafkan kerana mereka tidak berhati perut,” katanya.
Baca juga: “Aku bahagia hidup dengan suami lembut, langsung tak menyesal kena kahwin paksa”