Malaysia Dateline

Ibu bapa berang PBT Klang kenakan kompaun tak masuk akal sehingga RM1,000

30 pemilik kereta berang selepas dikompaun sehingga RM1,000 oleh Majlis Perbandaran Klang (MPK) atas kesalahan memarkir kenderaan di kawasan yang dikatakan bukan kawasan parkir.

Kesemua kenderaan yang dikompaun adalah milik ibu bapa yang menghadiri pertandingan taekwando di Dewan Eng Ann anjuran peringkat daerah.

Memetik Harian Metro, salah seorang daripada mereka mendakwa kawasan itu langsung tiada papan tanda larangan untuk meletakkan kenderaan memandangkan kawasan tersebut adalah taman perumahan.

Bahkan, kebanyakan yang hadir pada semalam (Ahad) adalah ibu bapa dari pelbagai sekolah di seluruh daerah untuk menyaksikan pertandingan tersebut.

Seorang wanita yang mahu dikenali sebagai Nantharajan, 43, berkata, dia terkejut selepas melihat jumlah saman yang dikeluarkan MPK itu.

Dia mengakui hairan kerana program yang dihadiri adalah pada hari cuti iaitu hari Ahad, justeru jumlah kompaun yang dikenakan sangat tidak masuk akal.

Sementara itu, seorang bapa yang mahu dikenali sebagai Hafiz, 37, meluahkan rasa kecewa atas sikap tidak bertimbang rasa pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

“Saya sangat kesal. Mereka sepatutnya bertimbang rasa kerana padang itu adalah hak milik awam, memang mempunyai akses jalan untuk letak di kawasan pinggir padang.

“Sepatutnya penguatkuasa boleh memberi amaran dengan membuat pengumuman terlebih dahulu kerana kami hanya berada di dalam dewan berkenaan,” katanya seperti dilapor Harian Metro.