Malaysia Dateline

Ibu bapa pengantin, saya minta tolong sangat batalkan kenduri, kata Muhyiddin

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, meminta ibu bapa pengantin untuk membatalkan kenduri-kenduri kahwin yang sudah dirancang ekoran peningkatan jumlah kes positif Covid-19.

Beliau mengingatkan, bahawa Perintah Kawalan Pergerakan melarang apa-apa perhimpunan ramai termasuklah majlis kenduri kahwin.

“Di kampung-kampung saya tahu ini musim kenduri kahwin. Maklumlah cuti sekolah. Kepada ibu-bapa pengantin, saya minta tolong sangat-sangat batalkan kenduri.

“Akad nikah boleh dibuat, tetapi majlis kenduri jangan buat dulu. Tangguhkanlah.

“Apabila keadaan telah bertambah baik, buatlah kenduri untuk anak kesayangan,” katanya dalam sidang media Perutusan Khas Covid-19, hari ini.

Tambah Muhyiddin, ibu bapa juga dinasihatkan untuk tidak malu dan segan apabila terpaksa membatalkan tetamu jemputan.

Beliau turut mencadangkan agar penjelasan diberikan kepada tetamu bahawa pembatalan dilakukan adalah untuk kebaikan agar dapat mengelakkan mereka daripada jangkitan wabak Covid-19 yang semakin membimbangkan.
“Saya fikir anak tuan-tuan dan saudara-mara yang dijemput hadir faham masalah besar yang sedang kita hadapi ini.

“Jangan malu, jangan segan. Beritahulah tetamu yang telah dijemput bahawa kenduri kahwin yang dirancang terpaksa dibatalkan kerana masalah COVID 19.

“Saya percaya mereka akan berterima kasih kepada tuan-tuan kerana prihatin tentang kesihatan para tetamu. Ini adalah antara perkara-perkara yang mungkin dianggap kecil, tetapi amat penting untuk dilakukan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan agar rakyat Malaysia tetap berada di dalam rumah selama tempoh dua minggu bagi membendung penularan wabak Covid-19 dalam negara.
“Prinsipnya mudah sahaja. Dalam tempoh dua minggu ini, duduklah diam-diam di rumah. Nampak mudah dan remeh.

“Tetapi sebenarnya inilah perkara penting yang saudara-saudari mesti lakukan untuk bersama-sama,” katanya.