Ibu bapa perlu prihatin persekitaran pusat tahfiz

Ibu bapa perlu prihatin persekitaran pusat tahfiz

Ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka menuntut ilmu di pusat tahfiz, perlu prihatin terhadap persekitaran di institusi agama itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof mengeluarkan kenyataan itu sebagai merujuk kepada kes budak berumur 7 tahun yang meninggal dunia selepas dihantar ke pusat tahfiz tidak berdaftar.

Dalam isu berkenaan, Dr Mujahid secara peribadi berkata, beliau mahu mencari satu undang-undang yang boleh dikenakan terhadap ibu bapa itu sendiri.

“Kalau tanya saya lah, saya nak cari satu undang-undang yang membolehkan tindakan diambil kepada ibu bapa. Yang itu (undang-undang) tersebut adalah salah satu pilihan.

“Mereka tidak pernah serik, letak anak berumur tujuh tahun di pusat tahfiz. Apa dosa anak berumur tujuh tahun itu?

“Konsep yang salah dalam kalangan ibu bapa adalah, kadang-kadang mereka ini hantar anak ke pusat pengajian itu bukan sebab nak anak jadi tahfiz, hantar anak sebab biar anak situ, kemudian selesai masalah makan dan minum.

“Petang baru ambil atau kadang-kadang dia duduk asrama, dia tak fikir dah. Ini satu yang salah (this is wrong),” katanya ketika ditemui pemberita di Axiata Arena Bukit Jalil selepas sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Mujahid yang juga Naib Presiden AMANAH menyifatkan segelintir ibu bapa menjadikan pusat tahfiz sebagai pusat pembuangan (dumping ground) dan anak-anak yang menjadi mangsa.

“Saya tak kata anak-anak berumur tujuh tahun jangan dihantar ke pusat tahfiz. Salah kalau saya cakap begitu kerana ianya adalah pilihan ibu bapa mereka.

“Tetapi, persoalannya adalah ‘pilihan’ yang jenis macam mana? Adakah sekadar sebagai ‘dumping ground’, lepas itu tinggal, buat hal masing-masing dan tengok-tengok anak dia dah jadi sesuatu.

“Akhirnya pusat tahfiz menjadi ‘dumping ground’ dan tidak menjadi sebuah institusi yang dihormati.

“Jadi, tindakan yang drastik kita kena buat adalah memberi kesedaran terhadap ibu bapa. Itu perkara paling utama. Namun, kita tak pernah mengatakan semua pusat tahfiz itu tak bagus.

“Kita juga ada pusat-pusat tahfiz yang bagus, tetapi tahfiz bukanlah pusat pembuangan, letak macam itu, lepas itu tinggal,” ujarnya lagi.

Memetik laporan portal berita FMT pada semalam, seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun yang dihantar ke sebuah pusat tahfiz tidak berdaftar di Lanchang, Temerloh, maut dengan kesan lebam pada tubuhnya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang Othman Nanyan berkata mangsa disahkan meninggal dunia pada 1 tengah hari, semasa menerima rawatan di Klinik Kesihatan Lanchang.

Katanya, polis kini menahan tiga remaja berusia 13 tahun yang juga pelajar di pusat tahfiz itu bagi membantu siasatan kematian mangsa.