Malaysia Dateline

Ibu bapa usah ambil mudah SOP di taska

Semua ibu bapa dan penjaga tidak harus memandang ringan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan bagi mencegah penularan Covid-19 khususnya bagi anak-anak yang dihantar ke taska.

Pengerusi Persatuan Pengusaha Taska Negeri Perlis, Sumayyah Mohamed Radzi berkata, peningkatan kes pandemik tersebut hari demi hari amat membimbangkan apabila kebolehjangkitan Covid-10 amat tinggi.

“Peningkatan kes di Perlis kini memerlukan kepedulian yang serius dalam kalangan waris serta ibu bapa terutamanya dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

“Antara langkah keselamatan yang harus diberi perhatian ialah anak-anak perlu dimandikan di rumah terlebih dahulu dan mereka tidak perlu dibawa untuk singgah kemana-mana selain rumah dan taska.

“Selain itu, suhu perlu diambil dari rumah terlebih dahulu sebelum hadir ke taska dan tidak perlu hadir sekiranya demam,” jelas beliau.

Sumayyah Mohamed Radzi

Malah tambahnya, ibu bapa atau waris wajib mengimbas kod QR di pagar taska, mengambil suhu sebelum masuk ke taska serta dibasuh dahulu tangan sebelum dibenarkan memasuki taska.

Untuk rekod, Perlis sudah mencatatkan jumlah 154 kes Covid-19 setakat semalam. Kawasan Beseri dan Padang Besar telah diisytihar sebagai zon merah.

Menurut Sumayyah, ibu bapa dan waris perlu mandi atau sekurang-kurangnya menukar pakaian terlebih dahulu sebelum mengambil anak di taska jika datang dari tempat berisiko seperti staf kesihatan mahu pun pekerjaan yang berisiko jangkitan.

Jelasnya, ibu bapa dan staf taska juga harus jujur sekiranya mempunyai kontak rapat atau ada kaitan dengan pesakit positif Covid-19.

Hal ini memandangkan pematuhan SOP taska amat penting bagi memastikan kekal beroperasi disamping memudahkan urusan ibu bapa dan waris yang bekerja.