Ibu bapa Zayn Rayyan direman 7 hari, siasatan dilakukan mengikut seksyen 302

Oleh WAN SITI AMINAH

Ibu bapa kepada kanak-kanak autisme iaitu Zayn Rayyan Abdul Matiin yang dibunuh pada Disember lalu direman selama tujuh tujuh hari bagi membantu siasatan polis.

Perintah dikeluarkan di Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada pagi Jumaat selepas Majistret Azura Mohd Saad membenarkan permohonan reman daripada pihak polis.

Pasangan suami isteri yang tiba di mahkamah dengan menaiki kenderaan polis pada 8.50 pagi bersama baju lokap berwarna oren itu akan direman hingga Jumaat ini, lapor Sinar Harian.

Terdahulu, kedua-dua individu terbabit mulanya dilaporkan ditahan oleh pihak polis di sekitar Puncak Alam, Selangor kira-kira pada pukul 11 pagi Jumaat (semalam).

Mengesahkan perkara itu, Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan memaklumkan bahawa penahanan dibuat selepas pihaknya menemui beberapa petunjuk baharu.

Jelasnya, kes masih disiasat mengikut Seksyen 302 kerana membunuh dan kedua-dua ibu bapa Zayn ditangkap sebelum ditahan reman bagi membantu siasatan polis.

Sebelum ini, jasad Zayn ditemukan di saliran air berdekatan takungan air kira-kira 200 meter dari rumahnya di Apartmen Idaman, Damansara Damai, Petaling Jaya.

Kanak-kanak autisme yang berusia enam tahun itu dijumpai kira-kira pukul 10 malam pada 6 Disember lalu iaitu selepas lebih 30 jam dilaporkan hilang oleh ibunya sendiri.

Kematian Zayn Rayyan kemudian diklasifikasi daripada mati mengejut kepada kes bunuh selepas bedah siasat menemui kecederaan pada leher dan badan kanak-kanak itu.

Baca juga: Banyak kes seludup minyak jadi punca kerajaan laksana penyasaran subsidi diesel