Malaysia Dateline

Ibu mentua pelakon Mira Filzah tidak dicalonkan-Persoal mana janji 30 peratus calon wanita

Ibu mentua pelakon cantik Mira Filzah tidak dicalonkan pada PRU15 ini mempersoalkan di mana janji 30 peratus calon wanita untuk kerusi di Perak dan Negeri Sembilan.

Datuk Mastura Mohd Yazid merupakan penyandang kerusi Kuala Kangsar digugurkan kali ini apabila BN menggantikan Ketua Umno Bahagian Kuala Kangsar, Datuk Maslin Sham Razman yang juga penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Chandan.

“Janji 30 peratus calon Wanita? Tak seorang pun Wanita Umno dicalonkan untuk kerusi Parlimen di Perak dan Negeri Sembilan,” kata beliau.

Mastura, 61 antara nama yang tidak dicalonkan untuk mewakili BN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) ini.

Beliau yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) tampil membangkitkan perkara itu melalui hantaran di Facebook beliau malam tadi.

Sebelum ini, Mastura sememangnya dilihat sukar untuk kekal mempertahankan kerusi Parlimen Kuala Kangsar pasca PRU-15 berikutan hubungan dingin yang sering diperkatakan antara beliau dengan Umno Bahagian Kuala Kangsar pada masa ini.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad sebelum ini, juga dilapor berkata, semua nama calon dari Umno yang dicadangkan untuk bertanding mesti dicadangkan sendiri oleh Jawatankuasa Umno Bahagian.

Kerusi Parlimen Kuala Kangsar dimenangi Mastura atas tiket Umno-BN bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar pada 18 Jun 2016 susulan kematian suaminya, Allahyarham Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak, pada 5 Mei tahun sama.

Mastura yang berasal dari Rembau, Negeri Sembilan kemudian menang pada PRU-14 atas tiket BN apabila meraih 12,102 undi iaitu majoriti 731 undi menewaskan calon PKR, Dr Ahmad Termizi Ramli (11,371) serta calon Pas.

Mira Filzah mendirikan rumah tangga bersama anaknya Wan Emir Astar pada 3 Setember 2020, mereka dikurniakan anak lelaki Wan Khair Amir yang kini sudah berusia enam bulan.

Baca juga: Gara-gara sebar video fitnah RPK, PU Syed mohon maaf pada Husam sedia disaman