Seorang wanita tidak menyangka bahawa keluarga mentua yang awalnya baik hati, rupanya mempunyai niat tersembunyi dalam rumah tangganya.
Mulai rimas dengan sikap ibu mentuanya, wanita berkenaan merasa berang apabila terpaksa menutup aurat selama 24 jam gara-gara kehadiran adik ipar lelakinya.
Sudah hilang semangat dan tiada keinginan untuk pulang ke kediaman milik mentua, berikut perkongsian wanita yang bengang dengan sikap lepas tangan suaminya.
“Assalamualaikum. Hai semua. Perkenalkan, nama saya Nunu. Sudah berumahtangga selama empat tahun. Saya cuma nak luahkan tentang keluarga mentua. Sebabnya, suami buat tak peduli dengan luahan hati saya. Keluarga sebenarnya mentua baik sahaja, kerja mereka selalu memberi.
“Makanan, baju, dan kadang-kadang duit pun bagi sebab tahu kami ini kekurangan duit. Cuma ada satu sahaja kekurangan iaitu common sense. Jarak rumah mak saya dengan kediaman mentua, tidak jauh. Cuma 10 kilometer (km) sahaja. Kalau ulang-alik, hanya ambil masa 15 minit sahaja.
“Yang menjadikan diri ini terasa hati, kami suami isteri sudah tidak tidur di rumah mak saya selepas lahirnya anak pertama pada tahun 2021. Setiap kali pulang kampung, suami akan ajak tidur rumah ibunya iaitu mentua saya. Di rumah ibu bapa saya cuma singgah dua kali sahaja. Itupun, sekejap sahaja tak sampai tiga jam.
“Kalau kami duduk melebihi masa, mentua akan telefon suami saya. Sampai sahaja di rumah mereka, mentua akan sindir saya. ‘Tak ingat dah nak balik rumah?’. Sampai macam itu sekali mengeluarkan kata-kata menyakitkan hati. Padahal sebelum keluar saya sudah bantu sediakan macam-macam makanan di dapur.
“Sedangkan anak perempuan mentua duduk sahaja di dalam bilik. Tidak menolong apa-apa. Kedua, ibu mentua akan suruh adik ipar lelaki iaitu adik suami untuk ikut kami setiap kali keluar rumah. Kadang-kadang saya nak juga keluar dengan suami sahaja. Nak ada sesi luahan perasaan.
“Tetapi, adik ipar sentiasa mengekori abangnya itu. Sebenarnya dari awal berkahwin lagi adik ipar mula mengikut kami keluar berjalan. Mak mentua apa lagi, izinkanlah. Padahal saya tahu, adik ipar ikut ada tujuan. Jadi spy kepada ibu mentua. Semasa berpantang anak pertama di rumah ibu saya pun mentua suruh adik ipar ikut.
“Bayangkan, mak mentua suruh adik ipar itu tidur sekali di rumah mak saya. Ya Allah, saya berpantang dalam keadaan tekanan yang amat. Saya bertukar menjadi garang. Sudahlah terpaksa pakai tudung 24 jam ketika keluar bilik. Suami saya pula? Sibuk menjaga adiknya sendiri. Bukannya nak tolong tengokkan anak pertama kami.
“Banyak lagi sebenarnya nak luahkan, tetapi tak terkira. Kadang-kadang masuk bilik kami, mentua tidak ketuk pintu. Terus tolak. Mentang-mentang rumah dia. Pintu pula rosak, tak boleh dikunci. Nasib baiklah masa itu tak bertelanjang. Saya baru selesai mandi. Mujurlah saya dan suami tidak buat apa-apa masa itu.
“Begitulah. Ini nak balik cuti nanti, entahlah apa mentua nak lakukan pula. Saya sudah tiga tahun tak tidur di rumah mak sendiri. Terakhir kami tidur ketika berpantang anak pertama. Sekarang anak masuk tiga tahun. Berpantang anak kedua pun ada ceritanya. Malasnya nak balik.” Kongsi Nunu (Bukan nama sebenar) di forum atas talian.
Baca juga: “10 tahun aku layan kehendak isteri, salah ke aku nak layanan sama daripada wanita lain pula…”