“Ibu mentua kawal setiap keputusan kami, aku beli sofa buat mak sendiri pun dia tarik muka”

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang wanita tidak menyangka keputusannya melupakan kata hinaan ibu mentua di hari pertama pernikahan bakal memberi kesan buruk kepada rumah tangganya.

Tinggal bersama mentua selepas berkahwin, wanita itu malah terperangkap dengan ‘cengkaman’ ibu bapa suami yang sentiasa mengawal setiap keputusan diambilnya.

Walaupun masih menerima pembelaan daripada suami tercinta, wanita berkenaan bagaimanapun tidak mampu melawan berikutan kesesakan kewangan yang dialami.

Hilang arah dalam membuat keputusan, berikut perkongsian seorang menantu yang sudah tidak mampu menahan penderitaan selepas berpindah ke rumah mentuanya.

“Assalamualaikum dan salam sejahtera. Aku seorang ibu kepada tiga cahaya mata. Mempunyai kerjaya stabil, suami yang sangat baik dan bertanggungjawab. Masalah berpunca daripada ibu dan bapa mentua. Mereka ini terpaksa aku gelarkan sebagai atuk dan nenek dari neraka.

‘Sejak hari pertama perkahwinan lagi, aku dan suami sudah diarahkan untuk tinggal bersama-sama dengan ibu dan bapa mertua. Suami aku hanya memiliki dua adik-beradik. Tetapi adiknya pula tinggal jauh di bandar. Oleh sebab itulah, ibu dan bapa mentua mendesak kami untuk tinggal bersama.

“Katanya mereka sunyi dan rumah terlalu besar untuk dua orang tinggal. Untuk info, ibu dan bapa mentua tinggal di sebuah rumah jenis semi-D yang mempunyai enam bilik tidur dan lima bilik air. Oleh kerana itu, aku terpaksa bersetuju walaupun hatiku amat berat sebenarnya. Pada mulanya kehidupan kami baik baik sahaja. 

“Selepas hari demi hari berlalu, barulah perangai sebenar ibu dan bapa mentua mula terselah. Mereka sangat suka mendesak kami suami dan isteri untuk mengikut setiap cara mereka. Mentua juga sangat kuat mengongkong dan langsung tidak mahu cuba menghormati privasi kami suami isteri.

“Bayangkan, ada satu hari itu aku baru lepas mandi. Tiba-tiba tanpa mengetuk pintu, dengan selamba ibu mentua masuk di dalam bilik dan boleh tengok aku berkemban tanpa rasa bersalah. Apa kamu semua rasa? Selain itu, ibu mentua juga suka menilai orang dengan memandang pada rupa. Aku harus akui, kulitku sedikit gelap.

“Aku ini tidak secerah kakakku. Pada hari perkahwinan, jiran-jiran ibu mentua datang bersalaman dengan aku selepas makan beradap. Salah seorang dari jiran itu sempat memuji aku dan berkata, ‘cantiknya pengantin’. Cuba teka apa jawapan ibu mentua?. Katanya dengan selamba, ‘alah cantik lagi kakak pengantin’.

“Bayangkan apa perasaan aku ketika itu. Sedar sangat kakak aku lagi cantik. Tetapi tak payahlah canangkan kuat-kuat begitu depan orang ramai. Aku sudah mula kecil hati waktu itu. Tetapi, aku pendamkan sahaja dalam hati. Ibu mentua juga sangatlah kuat cemburu. Dia langsung tak boleh terima kalau suami membelikan aku barang.

“Walhal, suami tak pernah melupakan ibu mertua. Malah, suami pernah membelikan barang kemas untuk ibunya juga. Ada sekali itu, suami membelikan aku gelang emas. Bila ibu mentua dapat tahu, terus dia menyindir aku selama berhari-hari. Ibu mentua siap kata barang kemasnya semua dibeli sendiri. Tiada seurat pun suaminya belikan.

“Bapa mertua seorang yang agak berada. Memiliki banyak hartanahtetapi sangat berkira dengan ibu mentuaku. Mungkin sebab itu dia menjadi kuat cemburu agaknya, Yang pelik, ibu mertua bukan setakat sakit hati kalau suami membelikan aku barang. Dia juga sakit hati kalau aku membelikan barang untuk ibu bapaku.

“Walhal aku pakai duit sendiri. Bukan minta duit suami. Untuk info, ibu bapa aku jenis orang susah. Bukannya kaya-raya macam ibu dan bapa mentua. Pernah ibu mentua tarik muka berhari-hari selepas dapat tahu aku belikan sofa buat ibu bapaku. Walhal, suami sudah membelikan sofa yang lagi besar untuk dia.

“Ada satu lagi hal yang buat aku selalu terasa hati. Ibu mentua suka mengutuk aku di belakang. Tahu pun sebab pernah terdengar sendiri dia memperlekehkan pakaianku yang tidak mengikut trend semasa di depan adik ipar. Masalah lebih besar timbul bila kami ada anak. Ibu dan bapa mentua mula mendesak anak-anak kami.

“Mereka mahu cucunya belajar 24 jam sehari. Langsung tak boleh nak bawa kawan-kawan datang rumah. Rasa sedih bila anak perempuan aku mengadu yang rakannya di usir di depan rumah. Walhal kawan anak (perempuan juga) datang sekejap untuk pulangkan buku dan hanya bersembang sebentar.

“Tetapi bapa mentua terus berkata, ‘pergi balik, pergi balik!’. Anak-anak mula rasa tertekan dan tidak seronok berada di rumah. Sebenarnya dahulu, anak pertama dan kedua pernah dijaga oleh ibu bapa aku. Anak-anak berkata yang mereka lebih suka dijaga oleh ibu bapa aku kerana mereka penyayang dan tidak mengongkong.

“Apabila ibu dan bapa mentua pencen, mereka mendesak untuk menjaga anak kami. Terpaksalah kami akur. Selepas melahirkan anak ketiga, aku tak mahu menyusahkan ibu mertua. Maka aku mengupah seorang pengasuh untuk datang ke rumah. Apabila usia anak ketiga mencecah lapan bulan, ibu mertua arah pengasuh berhenti.

“Ibu mentua siap suruh pengasuh beritahu aku yang dia nak berhenti. Bukan disuruh oleh ibu mentua. Aku cuma tahu beberapa bulan selepas pengasuh itu berhenti. Dia yang beritahu dan meminta maaf. Aku pun bingung. Kenapa ibu mentua aku sanggup berbohong sampai macam ini. Mungkin dia nak anak ketiga lebih manja dengannya.

“Ini kerana anak pertama dan kedua lebih manja dengan ibu bapa aku. Kemuncak kisah berlaku pada PKP tempoh hari. Aku bekerja dari rumah. Ibu dan bapa mentua agaknya tidak berpuas hati kerana anak-anak sentiasa berkepit dengan aku. Biasa sahaja sebenarnya. Kalau ibu ada di rumah, mestilah anak-anak akan melekat.

“Pagi itu aku, suami dan anak anak keluar hingga ke petang untuk membeli barang sekolah. Kami sampai rumah kira-kira pukul 6 petang. Anak lelaki aku baru sahaja nak pegang telefon. Tiba-tiba bapa mentua datang dan mengherdik dia. Aku terus memanggil anakku masuk ke dalam bilik. Suami yang dari dalam bilik rasa pelik.

“Dia mendengar bapanya bising-bising di luar. Aku memaklumkan pada suami apa yang telah berlaku. Suami terus bersemuka dengan ibunya untuk mempertikaikan tindakan bapanya. Malam itu, aku dan suami turun ke bawah. Suami terus menegur bapanya dengan lembut, ‘abah nak makan apa, kami nak keluar beli makanan’.

“Tiba-tiba bapanya melenting dan terus mengherdik aku. Kata bapa mentua, aku tak ada hak untuk mempertahankan anak. Kemudian suami membela aku. Ini kemuncak segala kemuncak. Bapa mentua menerpa dan cuba memukul aku. Mujur suami cepat cepat menarik aku ke belakang badannya. 

‘Kemudian, bapa mentua beria-ria mahu menghalau aku dari rumah. Ibu mentua juga minta kami pindah agar emosi anak tidak terganggu. Aku sangat terkejut. Bapa aku sendiri tidak pernah angkat tangan begitu. Bapa aku sendiri, tak pernah sekali pun pernah memukul ibuku. Ini, bapa mentuaku pula cuba memukul aku?

“Bapa mentua memang selalu memukul isterinya, jenis yang baran. Selepas kejadian itu, aku dan suami berbincang dan mengambil keputusan untuk keluar dari rumah itu. Tetapi, tiba-tiba ibu mentuaku menghalang. Siap cakap, ‘alah malam itu benda kecil. Abah cuma bagi nasihat sahaja’. Pukul dia cakap benda kecil, kamu semua rasa?

“Suami bertegas juga mahu keluar tetapi ibunya terus mengugut. Kalau kami keluar, dia juga nak keluar dan jual rumah itu. Selepas ini tak nak jaga anak kami sebab ibu dan bapa mentua enggan maruah mereka tercalar. Tiba-tiba, pula aku dapat memo dari pejabat yang mengarahkan untuk kembali bekerja seperti biasa.

“Kalau nak mencari pengasuh dalam waktu terdekat memang tak sempat. Makanya kami sekeluarga terpaksa bertahan duduk di sini dahulu. Ibu mentua juga mendesak aku memaafkan bapa mertua dan kembali mesra seperti bias. Sebab ikut pandangan ibu mertua, perbuatan bapa mertuaku itu benda kecil sahaja.

“Aku berkata kepada suami yang hatiku masih terluka buat masa ini dan sukar untuk memaafkan perbuatan bapa mertua. Kamu semua doakanlah agar aku, suami dan anak-anak diberikan jalan yang terbaik untuk menghadapi kesulitan ini. Amin.” Kongsi wanita berkenaan menerusi satu hantaran di sebuah forum atas talian.

Baca juga: Suami serabut isteri bergaji tinggi ‘spend’ untuk diri sendiri, rasa beban beli barang bayi