Ibu kepada pelakon terkenal, Tan Sri Michelle Yeoh iaitu Datin Janet Yeoh telah membuat satu pendedahan yang mengejutkan baru-baru ini.
Mana tidaknya, wanita yang berusia 84 tahun itu mendedahkan bahawa dirinya tidak dijemput untuk menghadiri majlis perkahwinan anaknya.
Bahkan, sang ibu juga mengakui langsung tidak dimaklumkan mengenai perancangan anaknya untuk menamatkan zaman bujang, beberapa hari lalu.
Sedangkan, Yeoh sering berkomunikasi dengan ibunya, Janet menerusi panggilan telefon bimbit meskipun dua beranak itu tinggal berjauhan.
“Anak saya memang akan sentiasa menghubungi saya tapi dia tidak beritahu pun (majlis perkahwinan) ketika kami bercakap dalam telefon dua minggu lalu.
“Mungkin dia sengaja nak berikan kejutan kepada saya,” kata Janet yang kekal berfikiran positif dengan keputusan anaknya, memetik The Star.
Tumpang gembira, Janet bagaimanapun berharap agar pelakon kelahiran Ipoh, Perak itu dapat mengadakan sebuah majlis resepsi di Malaysia.
Janet juga bersyukur Yeoh akhirnya memutuskan untuk berkahwin selepas 19 tahun bertunang dengan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Scuderia Ferrari, Jean Todt.
“Todt sudah banyak kali melamar dan dia hanya ketawa serta mengatakan seronok setiap kali dilamar. Todt memang terlalu cintakan Michelle.” Ulasnya.
Terdahulu, khabar mengenai perkahwinan Yeoh bersama lelaki kelahiran Perancis itu dibongkarkan oleh bekas pelumba Formula One, Felipe Massa.
Menerusi satu hantaran di laman Instagram milik Massa, majlis tersebut difahamkan diadakan secara tertutup di Geneva, Switzerland.
Hampir dua dekad bercinta, pasangan suami isteri berkenaan mula berkenalan di dalam acara Shanghai Grand Prix, China, pada Jun 2004.
Pelakon yang berusia 60 tahun itu menghadiri acara tersebut kerana terlibat di dalam program publisiti untuk jenama kereta mewah, Ferrari.
Pada 26 Julai tahun yang sama iaitu selepas tiga minggu berkenalan, Todt membuat keputusan untuk melamar Yeoh menjadi teman hidupnya.
Baca juga: Sedekah RM50 pada orang gila, pemuda raih untung RM50,000 dalam masa sehari