Ibu Neelofa disahkan hidap barah payudara, lelong produk nak berehat dari perniagaan

Oleh WAN SITI AMINAH

Ibu kepada usahawan selebriti terkenal, Noor Neelofa iaitu Noor Kartini telah disahkan menghidap penyakit barah payudara tahap satu setelah menjalani saringan kesihatan di hospital, baru-baru ini.

Difahamkan, perkara itu diketahui selepas wanita berusia 59 tahun terbabit dipanggil untuk membuat ujian biopsi pada 17 Februari lalu selepas keputusan momogram di dalam saringan kesihatan sebelum ini ‘kurang cantik’.

Noor Kartini juga mengakui terkejut menerima keputusan pemeriksaan itu dan tidak menyangka akan diuji dengan barah payudara memandangkan tiada sejarah keluarga yang pernah menghidap penyakit sedemikian.

Perkara itu didedahkan oleh Noor Kartini kepada seorang pempengaruh setelah menjemputnya untuk datang ke rumah sebelum rakaman pertemuan mereka dimuat naik di akaun TikTok miliknya iaitu @senokperutofficial.

“Saya nak, wanita-wanita di luar sana sedar dan menjaga kesihatan dengan melakukan saringan kesihatan secara kerap. Macam saya sendiri setiap tahunlah buat dan baru-baru ini disahkan menghidap barah payudara tahap satu.

“Alhamdulillah, saya dapat dikesan menghidap barah ini di peringkat dan tahap yang sangat awal. Apabila saya dapat tahu semasa buat saringan kesihatan mamogram dan apabila doktor beritahu kena buat biopsi.

“Dalam fikiran saya ini tak terlintas langsung mengenai barah. Saya tak pernah terfikir kerana memang tidak ada di dalam keluarga mempunyai sejarah penyakit kanser,” katanya dalam perkongsian itu.

@senokperutofficial

Terkejut juga Abe La apabila Mama Tini ajak jumpa minggu lepas. Rupanya ada benda dia nak bagi tahu. Suatu yang sangat penting untuk setiap wanita kena jaga dan cakna. #kualalumpur #neelofa

♬ Sad song by piano and violin(886018) – NOVA

Ketika ditanya mengenai penerimaan anak-anak, Noor Kartini memaklumkan bahawa mereka segera bergegas pulang ke rumah termasuklah yang tinggal di luar negara untuk menjenguk dan memastikan keadaannya.

Penyakit yang dihadapinya itu menyebabkan Noor Kartini mengambil keputusan untuk melelong kesemua produk keluarannya kerana mahu berehat dari dunia perniagaan di atas nasihat anak-anak.

“Saya tengok anak-anak semuanya menangis. Anak yang kini tinggal di England dan Sabah juga pulang ke rumah. Alhamdulillah, apabila dapat dikesan dengan awal, banyak perkara boleh dibuat dengan cepat termasuklah rawatan.

“Alhamdulillah, syukur kepada Allah dan sekarang ini pula masa untuk saya melalui proses penyembuhan. Di atas permintaan anak-anak juga, mereka mahu saya berehat dan perlahankan perniagaan.” Jelasnya.

Baca juga: ‘Ini sebabnya orang tua jangan main TikTok’, ramai setuju ulasan peguam ini terhadap kes Ellie Suriaty