Ibu tiri Shila Amzah buat laporan polis tuduh anak curi kereta, bekas isteri kecewa ND Lala layan zuriat macam orang luar

Oleh WAN SITI AMINAH

Dunia hiburan tanah air baru-baru ini dikejutkan dengan penyebaran video yang memaparkan wanita berpurdah dipercayai ibu tiri kepada selebriti, Shila Amzah.

Menyita perhatian ramai, video yang mengundang tanda tanya itu turut memperlihatkan wajah kusut milik bapa Shila iaitu penyanyi era 1980-an, ND Lala.

Tampil bercerita hal sebenar, bekas isteri ND Lala, Fauziah Sarman mendakwa isteri kedua lelaki itu telah menuduh anak mereka mencuri kenderaan miliknya.

Selain membuat laporan polis, bekas madunya itu telah mendesak anak tiri sendiri untuk memulangkan kereta itu dan membuat satu permintaan yang keterlaluan.

Sambil dirakam oleh ND Lala, anaknya Syafiq dituntut untuk membuat pengakuan serta membuat permohonan maaf secara bertulis dan lisan ketika kejadian itu.

Bekas madu Fauziah yang juga ibu tiri Shila Amzah itu pula dilihat seperti sedang memeriksa but kereta dipercayai khuatir sekiranya barang miliknya hilang.

Video kongsian Fauziah itu tular di media sosial selepas dikongsi menerusi satu hantaran di platform TikTok di akaun milik @Mamazie.

“Inilah penyerahan kereta dan barang-barang serta dokumen bersama di dalamnya,” kata anak lelakinya Syafiq dalam video berkenaan.

Fauziah sebelum ini mendedahkan bahawa kecurangan bekas suaminya itu mula terbongkar selepas anak lelakinya diminta mengambil sebuah kereta di Kedah.

“Pada awalnya anak saya sangka bahawa kereta itu milik Abahnya tetapi dari sinilah kami sangat yakin cerita perkahwinan mereka tersangatlah benar.

“Bagaimana rasanya jiwa seorang isteri apabila menemui beg pakaian yang bercampur antara baju suami dan perempuan lain dalam satu bagasi.

“Yang paling melumatkan jiwa, anak lelaki saya dituduh melarikan kereta atas nama perempuan ini,” luah Fauziah menerusi satu postingan di Instagram miliknya.

Tinjauan di ruangan komen mendapati rata-rata pengguna TikTok hairan dengan tindakan ND Lala yang membelakangkan keluarga demi isteri mudanya.

Ramai juga penonton mendoakan agar Fauziah reda dan dikurniakan kekuatan untuk menghadapi ujian yang dianugerahkan dari yang maha Esa.

Baca juga: Che Puan Sofie bersyukur dapat kad pengenalan Malaysia, selamat lahirkan putera sulung bulan lepas