Malaysia Dateline

Ibu tunggal 13 cahaya mata dapat tempat tinggal hasil bantuan kerajaan

Kesempitan hidup memaksa ibu tunggal dari Tampin, Negeri Sembilan, Noranita Lajis, 43, menjalani kehidupan di dalam kereta di sekitar ibu negara bersama anak, sebelum mendapat rezeki menyewa rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Kampung Batu Muda, Kuala Lumpur.

Namun, nasib ibu tunggal berubah pada hari ini, apabila Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan kerjasama Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) menyerahkan surat tawaran untuk menyewa rumah PPR yang disediakan berkuatkuasa Rabu depan.

Noranita yang mempunyai empat anak kurang upaya itu berkata, dia mula duduk di dalam kereta sejak bulan 8 tahun lalu, disebabkan barang yang digunakan untuk berniaga air dan mainan di depan kompleks beli-belah Sogo telah di sita.

“Kalau dulu sebelum barang kena rampas, saya pakai surat tata bicara.. alhamdulilah boleh bayar sewa rumah, berbelanja dan menyimpan RM100 sebulan..

“Tapi apabila tidak memakai surat tata bicara, pendapatan hanya cukup-cukup untuk anak makan dan juga wang modal..

“Sebelum dapat rumah PPR ini, saya duduk merata tempat seperti di parkir kereta.. bila kena halau, saya akan sewa bilik (hasil duit lebih berniaga) berharga RM15 dari jam 12 tengah malam sampai 6 pagi, selepas itu keluar duduk dalam kereta semula.

“Saya juga pernah duduk dalam kereta selama 4 bulan di kompleks beli-belah Campbell. Bila Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) datang, mereka suruh cari tempat alternatif, tapi itu lah, budak (anak-anak) bukan macam kita, kadang tak boleh duduk ramai-ramai.. jadi saya terpaksa bergerak ke Kampung Baru atau parkir di mana-mana sekolah.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam usaha mendapatkan rumah PPR ini.. saya sangat gembira mendapat surat tawaran ini kerana memang nak sangat duduk dalam rumah,” katanya ketika ditemui pemberita di pejabat DBKL, hari ini.

Ketika serahan borang tawaran perumahan ini dilakukan, pihak Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) telah menyumbang sebanyak RM1,200 sebagai deposit dan sewa (enam bulan pertama) untuk kemasukan ke rumah tersebut.

Sementara itu, Pegawai Khas kepada Menteri Wilayah (Khalid Samad), Nik Abdul Razak menyifatkan tawaran sewa rumah PPR itu adalah bukti keprihatinan pihak KWP dan DBKL terhadap kebajikan warga B40 di ibu negara.

“Walaupun jumlah rumah PPR yang masih kosong sangat sedikit, tetapi kami tetap komited berusaha mencari ruang membantu mereka yang betul-betul memerlukan walaupun dalam keadaan terbatas (permintaan melebihi penawaran).

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada yang terlibat seperti Jabatan Pembangunan Komuniti sangat pantas menguruskan dan memproses permohonan.

“Selain itu, terima kasih juga untuk bantuan daripada pihak YWP, JKM dan yang penting Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL) dalam membantu dan menyediakan kemudahan untuk anak-anak itu kembali ke sekolah,” katanya.

Sehubungan itu, Penyelia Kanan Pengurusan Murid Unit Sekolah Rendah JPWPKL, Nor Azlin Zaini berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai perkara itu dan akan menguruskan tentang hal persekolahan anak Noranita.

“Puan Noranita mempunyai anak untuk bersekolah rendah darjah 1 tahun hadapan, dan seorang lagi anaknya sedang bersekolah. Jadi, saya bercadang menempatkan mereka di Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Muda, sekali gus memastikan anak ini dapat bersekolah pada tahun hadapan,” katanya

Bagi Penolong Pengarah Unit Sekolah Menengah, Sektor Pengurusan Sekolah JPWPKL, Nazrol Afendi Abdul Rahman pula berkata, pihaknya bercadang menempatkan anak Noranita di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu Muda.

“Mengenai serahan borang itu, selepas ini kami dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) akan menziarah cakna ke atas keluarga ini, dan borang itu akan diserahkan ketika lawatan dilakukan. Kami juga akan membantu keluarga ini dari segi persekolahan anak-anaknya,” katanya.