Ibu tunggal dengan 6 anak di Miri perlukan bantuan

Ibu tunggal dengan 6 anak di Miri perlukan bantuan

Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul. Begitulah kesah seorang ibu tunggal dekat Miri, Sarawak, Puan Butet Ahmad yang tinggal bersama enam anaknya amat memerlukan bantuan bulanan serta tempat tinggal tetap untuk meneruskan kehidupan harian mereka.

Beliau tinggal bersama anak-anaknya yang berumur dari tujuh hingga 18 tahun di sebuah rumah sewa usang amat memerlukan bantuan dan tempat tinggal yang tetap dan selesa.

Sejak beliau kehilangan suaminya tiga tahun yang lalu dia terpaksa menyewa rumah usang di Jalan Tanjung Batu Kampung Pujut Padang Kerbau, Miri itu bersama anak-anaknya.

Rumah usang yang menjadi tempat Butet dan anak anaknya berlindung bila-bila saja boleh ditarik balik kerana mereka kadang-kadang tidak mampu membayar sewanya.Beliau memiliki tiga anak lelaki dan tiga perempuan.

Anak sulung beliau seorang gadis lepasan sekolah menengah terpaksa bekerja di sebuah kedai kasut untuk menyara kehidupan mereka sekeluarga.

Butet hanya menjual ikan serta membantu menghantarkan barang jualan di pasar. Pendapatan beliau tidak mencukupi untuk menampung keperluan sekolah anak-anaknya dan keperluan harian mereka.

Rumah usang yang beliau sewa di kampung Pujut Padang Kerbau pada bila-bila masa akan ditarik balik oleh tuannya sekiranya beliau tidak mampu membayar sewa bulanan dan lain-lain bil.

Seorang anaknya yang berumur tujuh tahun masih tidak bersekolah disebabkan ada masalah dengan pendaftaran kelahiran sedangkan kakak-kakak dan abang-abangnya tiada masalah dengan pendaftaran kelahiran.

Kes anaknya ini masih dalam proses untuk mendapatkan semula hak kerakyatan disebabkan ayahnya telah meninggal 3 tahun lalu.

Ayahnya adalah rakyat Malaysia dan sepatutnya anaknya secara langsung diiktiraf sebagai rakyat Malaysia.

“Kita mengesa pihak Jabatan Kebajikan dan Baitulmal Sarawak boleh memberi bantuan bulanan kepada keluarga ini terutama sekali kepada anak-anaknya yang masih bersekolah,” kata Pesuruhjaya Pas Sarawak yang juga yang dipertua Pas Miri, Jofri Jaraiee dalam satu kenyataannya.

Mereka juga, katanya, ada hak untuk diberi bantuan sebab anak-anak arwah Mansur Japal ini adalah warganegara Malaysia.

Sehubungan itu, beliau menggesa pihak yang berwajib memberi perhatian dengan nasib yang menimpa anak-anak yatim ini agar mereka dapat meneruskan kehidupan mereka dengan lebih baik lagi walaupun mereka sudah kehilangan tempat bergantung.

Mereka juga perlu tempat tinggal yang tetap kerana mereka boleh disuruh keluar dari rumah sewa mereka sekiranya mereka gagal menjelaskan sewaan mereka.

“Pihak kami mengharap agar pihak yang bertanggungjawab dalam hal ehwal kemasyarakatan boleh berkunjung ke tempat kediaman Pn Butet di Kampung Pujut Padang Kerbau untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang nasib yang menimpa keluarga ini,” katanya.

TAGS