Malaysia Dateline

Ibu tunggal terharu terima sumbangan SSPN

Ibu tunggal kepada dua orang anak terharu dengan sumbangan simpanan akaun sebanyak RM100 Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) yang diberikan kepada anaknya, Mohammad Ashraf Suhaili.

Suhani Marzuki, 30, yang bekerja sebagai promoter jualan tidak dapat menahan sebak ketika ditemui pemberita sewaktu menghadiri Program Jelajah SSPN 2019 Peringkat Negeri Sarawak di Sekolah Kebangsaan Matang Jaya, semalam.

“Ribuan terima kasih saya ucapkan kepada pihak Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kerana telah menolong anak saya dengan memilih beliau mendapatkan peruntukan dana Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) dalam bentuk akaun SSPN-i yang dibuka oleh PTPTN melalui kerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak,” katanya.

Pembukaan tabung secara percuma ini sedikit sebanyak membantu keluarga kecilnya dan dapat meringankan beban ibu muda ini.

“Sebelum ini, Ashraf tidak pernah membuka mana-mana akaun simpanan untuk masa depannya.

“Saya berharap dengan adanya bantuan seumpama ini dapat meringankan beban saya untuk membesarkan Ashraf dan adiknya.

“Saya akan gunakan peluang ini sebaiknya dengan berusaha menghantar kedua-dua anak sehingga ke menara gading bagi mengubah nasib keluarga kami,” jelasnya.

Ashraf, seorang murid darjah lima di Sekolah Kebangsaan Petra Jaya bercita-cita untuk menjadi doktor dan berjanji akan mengubah nasib keluarganya selepas ini.

“Saya akan terus menabung dalam SSPN agar kelak wang yang saya kumpul tersebut dapat membantu saya meneruskan pembelajaran ke peringkat lebih tinggi.

“Terima kasih saya ucapkan kepada PTPTN kerana memilih saya menjadi salah seorang penerima dana CSR,” katanya.

PTPTN turut memberikan sumbangan simpanan akaun SSPN-i kepada 1, 240 anak-anak asnaf melibatkan 31 kawasan parlimen seluruh Sarawak melalui peruntukan dana CSR PTPTN berjumlah RM124, 000.

Majlis perasmian semalam disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kewangan Malaysia Dato Wira Amiruddin Hamzah serta Pengerusi PTPTN Wan Saiful Wan Jan.