Ibubapa, guru jangan panik tiada sebarang perubahan cuti sekolah, kata Teo

Ibubapa, guru jangan panik tiada sebarang perubahan cuti sekolah, kata Teo

Kementerian Pendidikan memaklumkan bahawa setakat ini tiada sebarang perubahan pada kalendar cuti persekolahan tahun hadapan dan ibu bapa serta guru diminta supaya jangan panik.

Timbalan Menterinya Teo Nie Ching berkata pihaknya belum menerima kertas cadangan atau kertas kerja daripada Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan berhubung cadangan pelaksanaan cuti sekolah secara berperingkat membabitkan negeri-negeri mulai tahun depan.

“Setakat ini belum ada apa-apa keputusan (mengenai cuti sekolah) dan perbincangan hanya akan diadakan sekiranya terdapat permintaan (daripada Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan).

“Ada yang sudah risau dan bertanya dengan saya mengenai perkara ini (cadangan cuti sekolah berperingkat). Kerana ada ibu bapa yang sudah mempunyai perancangan, malah ada yang sudah tempah tiket kapal terbang,” katanya kepada media lapor Bernama.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis penutupan Seminar Kebangsaan: Pemupukan Integriti Dalam Pendidikan, di Institut Integriti Malaysia (Integriti) di sini.

Pada Selasa, Timbalan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Muhammad Bakhtiar Wan Chik mencadangkan cuti sekolah diadakan secara berperingkat antara negeri bagi memacu sektor pelancongan dan mengurangkan kesesakan di beberapa tempat tumpuan pelancong tempatan.

Muhammad Bakhtiar berkata pihaknya sedang merangka cadangan itu yang akan dikemukakan kepada Kementerian Pendidikan, melibatkan jadual cuti sekolah yang biasa diberikan pada bulan Mac, Jun dan September sahaja.

Cadangan itu menerima pelbagai reaksi daripada banyak pihak termasuk ibu bapa dan guru yang kebanyakannya tidak bersetuju dengan perkara itu.

Sementara itu, Seminar Kebangsaan: Pemupukan Integriti Dalam Pendidikan anjuran Integriti selama sehari itu bersetuju berapa resolusi termasuk mencadangkan supaya membudayakan nilai integriti dalam kalangan pendidik dengan mewujudkan piagam integriti khusus untuk golongan itu.

Seminar yang dihadiri pegawai kerajaan dan pihak berkepentingan itu turut mencadangkan supaya elemen integriti diperkenalkan dalam pembentukan negara bangsa yang merangkumi semua bangsa dan agama di semua peringkat pendidikan.

Turut hadir Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Integriti Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin dan anggota Lembaga Pengarah Integriti Prof Emeritus Datuk Dr Ibrahim Ahmad Bajunid.

8.0
OVERALL SCORE
: 8.0
Have no any user vote
CATEGORIES
TAGS