Malaysia Dateline

ICC diharap dapat wujudkan keamanan sejagat, perangi jenayah antarabangsa

Pemuda AMANAH Nasional menyambut baik pengumuman oleh Wisma Putra berhubung persetujuan kerajaan untuk menyertai perjanjian ‘Rome Statute of the International Criminal Court’ (ICC) dapat menzahirkan komitmen Malaysia dalam mewujudkan keamanan sejagat.

Ketua Pemudanya Mohd Sany Hamzan berkata, Mahkamah Jenayah Antarabangsa yang kini beroperasi di The Hague, Belanda berfungsi bagi menangani jenayah kemanusiaan yang dilakukan oleh penjenayah berprofil tinggi seperti yang terlibat merancang dan melaksanakan pembunuhan kejam melampau batas kemanusiaan.

“Sebagai salah satu negara anggota Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Malaysia seharusnya bekerjasama dengan rakan-rakan anggota yang lain dalam memerangi jenayah-jenayah antarabangsa.

“Pemuda AMANAH Nasional juga berharap agar kerajaan dapat menggunakan pengaruh sediada bagi menggerakkan usaha menambahbaik sistem Mahkamah Jenayah Antarabangsa.

“Ini bagi memastikan penyertaan kerajaan di dalam perjanjian ini dapat merealisasikan matlamat serta maksud sebenar penubuhan tribunal antarabangsa ini.

“Selaku negara berpengaruh serta aktif dalam pertubuhan serantau seperti ASEAN, OIC dan NAM, penyertaan Malaysia ini diharap dapat membantu mengukuhkan lagi kerjasama serantau khususnya dalam memastikan penjenayah kemanusiaan dibawa ke muka pengadilan,” ujar Adun Taman Temple ini lagi.

Semalam Malaysia menandatangani surat cara untuk menerima Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Wisma Putra dalam kenyataan pada Isnin, berkata Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah menandatangani Surat Cara Penerimaan Statut Rom ICC itu dan surat berkenaan diserahkan kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada hari sama.