ICC: Tunku Ismail bukan wakil rakyat, kata Mahathir

ICC: Tunku Ismail bukan wakil rakyat, kata Mahathir
Mencuit Hati: Tun Dr Mahathir Mohamad (hadapan kanan) ketika mendengar titah ucapan YDP Agong ke-16 Al- Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada perasmian Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama bagi penggal kedua Parlimen Ke-14 hari ini.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyelar pandangan Tengku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mengulas mengenai Statut of Rome Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Dr Mahathir berkata, pandangan TMJ tidak mewakili rakyat kerana beliau bukanlah seorang wakil rakyat dan ia bukan satu perkara yang besar.

“Dia ini bercakap untuk diri sendiri dan bukannya wakil rakyat pun,” ujar Dr Mahathir ketika diminta media untuk mengulas kenyataan TMJ semalam.

Beliau ditemui media di lobi Parlimen selepas Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Majlis Parlimen  ke-14  2019.

TMJ dalam tulisannya melahirkan kebimbangan penyertaan Malaysia dalam ICC dikhuatiri menggugat kedudukan Yang di-Pertuan Agong selaku pemerintah tertinggi di negara ini.

Baginda malah mengingatkan, bahawa tindakan yang memberi kesan kepada pemerintah tertinggi perlu terlebih dahulu mendapat persetujuan daripada Majlis Raja-raja.

“Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) ini digubal oleh United Nations (Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu). Siapa yang mendapat faedah daripadanya? Hanya beberapa kuasa besar.

“Bagaimana mereka itu tidak pernah mempersoalkan apa yang berlaku kepada rakyat Palestin dan bagaimana rakyat tersebut menderita?

“Ini tidak bagus buat Raja-Raja, Melayu dan Islam. Tanpa anda menyedari, kita selaku orang Melayu telah mempermudahkan mereka untuk mencapai matlamat dan agenda mereka.

“Inilah akibatnya apabila ada segelintir pihak mahu terlalu liberal.

“Kita sentiasa harus mempertegakkan Islam,” katanya seperti dipetik dalam akaun Facebook rasminya, malam tadi.

Tunku Ismail mengulas mengenai penyertaan Malaysia dalam Statut Rome ICC yang mencerminkan komitmen negara terhadap usaha-usaha membanteras jenayah antarabangsa untuk mencapai keamanan dan keselamatan sejagat.

Menurut Wisma Putra, Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah telah menandatangani Instrumen Kesertaan untuk Malaysia menyertai Statut Rome bagi ICC Khamis lepas