Malaysia Dateline

Mohamed Hanipa Maidin

ICERD: Antara hujah bernas dan teriakan ganas

Timbalan Menteri (Undang-undang) di Jabatan Perdana Menteri Mohamed Hanipa Maidin berkata, mana-mana pihak yang membantah ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) haruslah diraikan dalam sistem demokrasi.

Beliau berkata, bagi pihak yang membantah gunakanlah hak itu dengan sebaiknya.

“Atas nama dan ruh demokrasi, saya ingin ucapkan tahniah lah. Berhimpun dan bersuara lah secara aman. Yakinkan rakyat dengan hujah hujah bernas bukan cuit emosi rakyat dengan tempikan dan teriakan yang ganas.

“Membantah dan tak setuju ICERD itu hak yang diraikan dalam sistem demokrasi. Gunakanlah hak itu dengan sebaiknya,” ujarnya dalam kenyataan di facebooknya hari ini.

Beliau dipercayai merujuk kepada usaha Umno dan Pas untuk mengadakan bantahan ICERD secara besar-besaran pada 8 Disember depan di Kuala Lumpur.

Namun kata Ahli Parlimen Sepang ini lagi, bantahan itu harus diberi hujah yang kukuh dan bernas dibuat melalui proses yang lebih bertamadun di dalam dewan rakyat.

“Cuma yang lebih baik jika bantah sesuatu perkara itu dengan kita beri hujah yang kukuh dan bernas dan dibuat dengan proses engagement yang bertamadun melalui antaranya wakil- wakil rakyat yang dihantar ke dalam dewan rakyat.

“Di dewan rakyat, saya tunggu, punya tunggu, punya tunggu perdebatan yang adalah sikit standard khususnya dari pihak yang menentang, tak timbul timbul.

“Maaf, tak jumpa lagi setakat ini. Hujah bernas tak dengar lagi.Teriakan ganas ada dan biasa dengar,” ujarnya sinikal.

Pada 18 November lalu dalam satu himpunan rakyat di Kampung Gajah,Perak
Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata perhimpunan besar-besaran membabitkan penyertaan ahli Pas dan Umno akan diadakan di ibu negara pada 8 Disember ini bagi membantah cadangan ratifikasi ICERD.

Program tersebut turut dihadiri Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Abdul Hadi berkata, berdasarkan sejarah, Pas dan Umno akan bersatu apabila ada kepentingan bersama terutama membabitkan isu orang Islam dan Bumiputera.