ICERD: Armada tolak jika bercanggah Perlembagaan Persekutuan

ICERD: Armada tolak jika bercanggah Perlembagaan Persekutuan

Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menegaskan pendirian sayap pemuda tidak akan berkompromi sekiranya ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) melanggari Perlembagaan Persekutuan.

Ketua Armada Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dalam kenyataannya menegaskan pendirian Armada itu berdasarkan persefahaman dan ketetapan bersama yang dibuat oleh kesemua parti komponen di dalam Pakatan Harapan (PH) untuk meneruskan dan mensejahterakan Malaysia melalui asas dan dasar yang telah sedia ada di dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Sebarang bentuk agenda untuk mengubah dan menggubal dasar-dasar kenegaraan Malaysia yang baharu di dalam Perlembagaan Persekutuan hanya boleh dibuat melalui proses di Parlimen yang memerlukan 2/3 undi majoriti.

“Ini bermakna ianya dibuat atas kehendak politik (“political will”) rakyat Malaysia sendiri (“internal force”) tanpa campur tangan pihak asing.

“Kami menolak sebarang unsur tekanan dan ancaman pihak luar (“external forces”) dalam proses menggubal apa sahaja undang-undang di Malaysia termasuklah Perlembagaan Persekutuan sekiranya ratifikasi ICERD dilaksanakan,” ujarnya.

Syed Saddiq yang juga Menteri Belia dan Sukan menjelaskan terdapat ruang undang-undang antarabangsa untuk melakukan pengecualian tertentu di dalam ICERD dan juga konvensyen-konvensyen lain, namun Armada  meletakkan kepentingan keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang Malaysia seperti yang disebut di dalam Rukunegara melebihi apa jua undang-undang luaran dan antarabangsa.

“Atas hujah itu, Armada  mendesak pihak Kerajaan untuk mengkaji semula cadangan ratifikasi ini sama ada ia akan meletakkan undang-undang negara pada tahap yang sama dengan undang-undang antarabangsa kerana ia boleh mengakibatkan keseimbangan sosio-ekonomi dan hak-hak tertentu di Malaysia mula terhakis.

“Resepi kejayaan sesebuah negara adalah berdasarkan acuan masing-masing dan tidak semestinya perlu menurut kesemua aturan yang diwar-warkan oleh pihak luar. Dalam proses pembentukan sosio-ekonomi negara, akan terdapat perkara-perkara fundamental yang mungkin bercanggah dengan konsep universal yang digunapakai oleh negara-negara tertentu.

“Namun kita berhak membina model negara ini menggunakan cara dan acuan kita sendiri mengikut hukum agama, adat dan kearifan tempatan sesuai dengan prinsip Islam yang sejagat dalam menjaga kemuliaan insan (karamah insaniyyah), namun Kerajaan Malaysia sama sekali tidak akan berlaku tidak adil dengan mana-mana pihak walaupun ICERD tidak diratifikasi,” ujarnya.

Ahli Parlimen Muar ini juga berkata, Armada percaya sesetengah bentuk diskriminasi positif dalam bentuk ‘affirmative action’ masih diperlukan dalam pembentukan masyarakat negara ini.

Ini termasuklah polisi berkaitan pembangunan ekonomi, pendidikan dan pemilikan rumah Bumiputera.

Namun, katanya lagi, penambahbaikan dan urus tadbirnya akan diperkemaskan oleh Kerajaan Malaysia Baharu bagi mengelak ianya disalah guna untuk kepentingan peribadi, mengaut keuntungan secara salah dan penindasan.

Di peringkat antarabangsa, jelas terdapat bukti bahawa diskriminasi positif dapat mengurangkan jurang perbezaan sosio-ekonomi sesuatu kaum atau agama.

“Contohnya Black Economic Empowerment (BEE) di Afrika Selatan berjaya meningkatkan tahap kehidupan penduduk berkulit hitam apabila “economic pie” negara Apartheid tersebut yang dahulunya dikuasai sepenuhnya penduduk kulit putih berbangsa Eropah telah dibahagikan mengikut keperluan dan kemasylahatan bersama dapat dijamin. Begitu juga dengan adanya skim kelebihan tertentu kepada “Indigenous People” dan “Aborigines” di Australia dan New Zealand yang pernah ditindas dahulu, berjaya menggalakkan penyertaan mereka di dalam sektor pekerjaan dan pemilikan harta.

“Pokok pangkalnya, tidak semua jenis diskriminasi kaum adalah negatif dari segi nama, perlaksanaan dan natijahnya,” ujarnya.

Syed Saddiq menegaskan beliau selaku Ketua Armada akan membangkitkan perkara ini di dalam Mesyuarat Jemaah Menteri akan datang dan mendapatkan penjelasan pihak-pihak berkenaan mengenai usul ini.

“Armada  akan terus berusaha untuk memastikan Kerajaan Malaysia Baharu tidak lari daripada tujuan asal mentadbir negara tercinta ini,” katanya.

COMMENTS

Wordpress (0)