ICERD: Azmin seru Melayu, Bumiputera tidak perlu bimbang

ICERD: Azmin seru Melayu, Bumiputera tidak perlu bimbang

Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata, masyarakat Melayu dan Bumiputera tidak perlu bimbang berhubung ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Menurutnya, kerajaan tidak akan tergesa-gesa berbuat demikian kerana negara tidak akan sesekali tunduk kepada kuasa besar yang mahu supaya Malaysia meratifikasi konvensyen berkenaan.

“Kononnya mahu kita ratifikasi konvensyen antarabangsa untuk memastikan penghapusan diskriminasi terhadap kaum. Saya ingin beritahu kita dalam PKR lebih awal mengambil tindakan supaya semua kaum mendapat kesaksamaan.

“Justeru, orang Melayu dan Bumiputera jangan bimbang kerana kita tidak tergesa-gesa mahu meratifikasi ICERD kerana kita sudah laksanakan beberapa prinsip utama dalam perkara terbabit,” tegasnya.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi berkenaan berkata demikian ketika menggulung pembahasan ucapan dasar Presiden pada Kongres Nasional PKR Ke-13 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di Shah Alam hari ini.

Mohamed Azmin berkata, polisi ekonomi yang diperkenalkan Datuk Seri Anwar Ibrahim merentas kaum.

“Jangan kita tunduk kepada kuasa besar yang mahu mengajar kita kerana kita dalam PKR harus bangga kerana kepemimpinan kita lebih awal melaksanakan perkara ini.

“Dasar ekonomi diperkenalkan Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan lagi berasaskan kaum tetapi berasaskan keperluan semua rakyat tanpa mengira kaum, agama dan budaya,” tambahnya lagi.