ICERD ditolak untuk pertahankan Perlembagaan dan semangatnya yang dipersetujui bersama

ICERD ditolak untuk pertahankan Perlembagaan dan semangatnya yang dipersetujui bersama

Isu Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Hak Segala Bentuk Diskriminasi Kaum atau ICERD adalah suatu isu yang tidak harus dipandang ringan.

Sebaliknya persetujuan untuk bersetuju dengan keputusan yang telah diambil oleh kabinet harus diakui.

Demikian dinyatakan oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada Konvensyen Pimpinan Pakatan Harapan Negeri Kedah yang telah diadakan di Seri Mentaloon, Alor Setar semalam.

Jelas beliau lagi, sekiranya ia dibatalkan, peringkat antarabangsa akan mendakwa bahawa wujudnya pro diskriminasi.

“Yang lebih penting dalam negara tatkala ini ialah memberi tumpuan bagi membetulkan masalah ekonomi.

“Selain itu keresahan orang Melayu mengenai ICERD bukan sesuatu yang direka.

“Tidak dapat dinafikan menjadi kebimbangan kepada orang Melayu kedudukan dan hak keistimewaan mereka akan terhakis, ” ujarnya lagi.

Malah tegas Anwar lagi, orang Melayu turut bimbang dengan kedudukan agama Islam serta kedudukan Raja-Raja Melayu apabila ia bersabit dengan ICERD.

“Terdapat kebijaksanaan apabila pemimpin negara mengambil tindakan drastik sedemikian dengan menolak ICERD.

” Walau bagaimanapun, tunggak utama negara adalah bagi menegakkan keadilan untuk semua.

“Dalam lain ertikata, undang-undang negara adalah sama kepada semua rakyat dan tidak timbul sebarang penindasan,”

Beliau juga berkata, sejarah telah membuktikan Afrika menyokong ICERD adalah kerana mereka menentang aparteid.

Manakala Arab pula menyokong kerana tidak mahu kezaliman diteruskan di Israel terhadap orang Arab yang tidak mempunyai hak dan kebebasan.

Namun begitu katanya, bagi negara ini ICERD ditolak adalah kerana hendak mempertahankan perlembagaan dan semangat perlembagaan yang telah pun dipersetujui bersama.

Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Pengerusi AMANAH Negeri Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh serta barisan kepimpinan PH Negeri Kedah.