ICERD: Elak timbulkan persepsi negatif hubungan antara kaum dalam negara

ICERD: Elak timbulkan persepsi negatif hubungan antara kaum dalam negara
Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa memberi ingatan kepada semua pihak supaya tidak terlalu melampau dengan membuat pelbagai persepsi negatif dalam isu Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Beliau berkata, dalam isu ICERD nasihat Perdana Menteri harus diberi pertimbangan yang sewajarnya.

“Beliau (Tun Dr Mahathir Mohamad) telah menyatakan bahawa tiada apa-apa perjanjian antarabangsa akan ditandatangani melainkan setelah mendapat perundingan semua pihak.

“Rundingan meja bulat akan diadakan pada hari Rabu 7 Npvember dengan semua NGO Islam serta juga Suhakam bagi mendapat input tanpa apa-apa janji dan komitmen.

“Sebaliknya ia adalah bagi mendapat maklum balas serta dapat membantu untuk memperolehi suatu maklumat yang lengkap ” ujarnya ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Penutup Mahrajan KAFA Interaktif Negeri Pulau Pinang di Kepala Batas semalam.

Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa bersama salah seorang penerima penghargaan Mahrajan KAFA Interaktif di Kepala Batas semalam.

Tegas Mujahid lagi, ini termasuklah memorandum yang telah diserahkan oleh Sekretariat Gerakan Pembela Ummah baru-baru ini.

Tambah beliau lagi, nasihat yang diberikan oleh Perdana Menteri agar tidak tergesa-gesa membuat andaian dan perlu dibincang terlebih dahulu adalah suatu yang perlu diberi pertimbangan yang sewajarnya oleh semua pihak.

“Kita amat bimbang kerana dalam keghairahan tersebut ia memberi tanggapan yang tidak betul

“Dakwaan sekiranya ICERD ditandatangani maka ia akan menghapuskan hak Melayu, Raja-Raja dan Islam adalah menyimpang sama sekali.

“Perlu diketahui bahawa apa jua perkara yang dilaksanakan diperingkat antarabangsa sekalipun, keputusannya akan berakhir dengan penggubalan undang undang di Parlimen dan ia tidak semestinya dipersetujui,” katanya lagi.

Mujahid juga berkata dalam ICERD telah pun tercatat ia tidak akan mengubah entitti mana-mana negara yang ada dari sudut perlembagaan, budaya dan sebagainya.

Sehubungan itu nasihat beliau tidak harus wujud tindakan melampau dengan membuat pelbagai persepsi negatif sehingga boleh menimbulkan kesan negatif dalam hubungan antara kaum.

Katanya lagi, sejarah pernah membuktikan bahawa perjanjian antarabangsa seperti TPPA suatu ketika dahulu turut dibantah dan tidak pernah dipersetujui.

Oleh kerana itu jelasnya, ICERD juga tidak begitu mudah untuk ditandatangai atau dipersetujui sepertimana yang digembar-gemburkan oleh sesetengah pihak.

COMMENTS