ICERD: Hadi, Zahid berbohong, dakwa Lathefa Koya

ICERD:  Hadi, Zahid berbohong, dakwa Lathefa Koya

Meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) didakwa tidak akan mengubah peruntukan yang termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

Sehubungan itu, Penasihat Undang-undang PKR, Latheefa Koya mendakwa, tindakan Presiden Umno, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berterusan mengeluarkan kenyataan bahawa ICERD akan menggugat Perkara 153 adalah suatu pembohongan.

Beliau turut menjelaskan, Perkara 153 bukan rasis atau perkauman sebaliknya adalah satu artikel yang membantu menjaga kedudukan istimewa orang Melayu serta bumiputera.

“Ini bukan isu mengelirukan ataupun memanipulasi, ini bohong, sudah berulang kali disebut bahawa tidak akan ada perubahan di dalam Perkara 153.

“Kalau 153 itu memang rasis maka ia bercanggah dengan ICERD kita tidak boleh tandatangan akan ada konflik,” katanya dalam Forum ICERD Ya atau Tidak, malam tadi, lapor Utusanonline.

Walau bagaimanapun, Latheefa mengakui kerajaan Pakatan Harapan (PH) gagal menangani isu ICERD dengan baik.

Beliau juga kecewa apabila terdapat pemimpin Pakatan Harapan (PH) mempersoalkan kepentingan meratifikasi ICERD berbanding membela isu rakyat.

“Saya setuju bahawa dalam isu ini ia tidak ditangani secara bagus, secara baik, memang ada masalah.

“Mereka kata ICERD ini bukan penting sangat kita bincang pasal harga minyak, harga makan sebagainya. Bagi saya itu adalah suatu perkara yang nakal,” katanya.