Malaysia Dateline

Sayuti Omar cabar pilihan raya diadakan di Nenggiri untuk uji politik Kelantan.

ICERD: Hanya si hipokrit sahaja yang menafikan

Penulis politik, Mohd Sayuti Omar menyifatkan hanya mereka yang hipokrit sahaja yang akan menafikan fakta yang jelas sudah direkod.

Menerusi hantaran Twitternya, Sayuti mengingatkan Datuk Saifuddin Abdullah bahawa orang tidak akan lupa apa yang telah dilakukannya sehingga dikaitkan sebagai bekas menteri Pakatan Harapan (PH) yang bertanggungjawab meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Komen itu dibuat selepas Saifuddin yang kini menjadi menteri komunikasi dan multimedia dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN), mengatakan dirinya bukan menteri yang bertanggungjawab berhubung hal ICERD.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil bagaimanapun tampil membidas perkara berkenaan kerana gabungan itu semasa menjadi kerajaan tidak pernah membincangkan isu meratifikasi perjanjian tersebut, sebaliknya langkah berkenaan diusahakan oleh Saifuddin.

“Fahmi Fadzil buka diari lama kepada Saifuddin Abdullah yang terlupa apa dibuatnya semasa dalam kerajaan PH berkaitan isu ICRED.

“Itulah jangan rasa orang sudah lupa terhadap apa yang berlaku.

“Catatan sejarah itu senantiasa kekal dalam kanvas kehidupan. Hanya si hipokrit sahaja yang menafinya,” ciap Sayuti.

Isu berkenaan ICERD timbul selepas Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke Siew Fook mendedahkan bahawa idea untuk meratifikasi ICERD dan Statut Rom adalah idea Saifuddin dan bukannya idea DAP.

Katanya, isu itu dijuarai oleh Saifuddin selaku menteri luar ketika pentadbiran Pakatan Harapan.