Malaysia Dateline

ICERD: Jangan baling batu jika duduk dalam rumah kaca

Dalam isu ICERD rasanya yang dapat laba besar ialah politikus yang tiada maruah. Kenapa saya katakan begitu?

Sebab yang kononnya begitu prihatin dengan hak orang Melayu dan agama Islam ialah presiden Umno dan presiden Pas walaupun ada beberapa individu yang berharap akan diberi ganjaran sekiranya rancangan kedua-dua parti ini untuk menumbangkan PH menjadi kenyataan.

Persoalan di sini ialah: Benarkah mereka ini “pejuang” bangsa dan agama?

Saya kata tidak. Mana mungkin seorang yang menghadapi puluhan tuduhan jenayah berkaitan rasuah dan kini menunggu masa untuk dibicarakan dilihat sebagai “pejuang” bangsa?

Dan mana mungkin seorang bergelar “ulama bertaraf dunia” boleh menyokong dan bersama dengan pemimpin yang dituduh itu, dengan juga mengambil kira pendirian Islam yang menolak perjuangan berasaskan warna kulit atau bangsa?

Mereka yang duduk dalam rumah kaca janganlah membaling batu.

Saya mungkin boleh mempersoal ICERD juga tetapi daripada aspek yang lain.

Sedikit kemusykilan saya ialah bagaimana terhasilnya konvensyen ini pada awal tahun 1960-an.

Apakah pandangan dan pendapat negara-negara yang mewakili pelbagai budaya, struktur negara, sejarah kebangsaan, dan kerencaman lain diambilkira?

Cukupkah rujukan dibuat dengan sebanyak mungkin negara di dunia sebelum mengemukakan konvensyen ini? Juga apakah dasar nilai yang memandu penghasilannya.

Cuma saya juga mendapati latar belakang kepada konvensyen ini merupakan suasana hak asasi yang diamalkan oleh beberapa negara ketika itu.

Di awal tahun 1950-an segregasi kaum yang radikal mula diamalkan oleh Afrika Selatan yang dikenali sebagai apartheid.

Memandangkan amalan ini mendiskriminasi mereka yang bukan berkulit putih di Afrika Selatan membawa kepada pemisahan rakyat yang berkulit putih dengan yang berkulit berwarna sehinggalah kemudahan awam juga diasingkan penggunaannya mengikut kaum, negara-negara dunia telah bertindak untuk memberi tekanan kepada regim minoriti kulit putih tersebut.

Dan antara tindakan itu ialah membawa dokumen berbentuk konvensyen ICERD bagi membuka jalan bertindak terhadap regim apartheid tersebut dan turut mengekang amalan serupa di mana-mana negara lain di dunia.

Justeru, adalah jelas konvensyen ini bukan bertujuan menjejaskan keharmonian sesebuah negara sebaliknya untuk mempastikan hak-hak asasi manusia dipertahankan di mana rasisme adalah ditolak.

Nama bagi konvensyen ini pun dalam bahasa kita ialah “ Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum”. Apakah ini menjadi masalah kepada negara kita?

Andaikata Malaysia terus memilih untuk tidak bersama masyarakat antarabangsa dalam menerima konvensyen ini maka apakah negara kita layak untuk bersuara tentang hak kaum minoriti dan kaum yang tertindas di negara lain?

Apakah mereka yang menentang penerimaan ICERD pernah berfikir tentang umat Islam yang ditindas di negara-negara lain yang memerlukan pembelaan?

Bolehkah Malaysia dengan kedudukannnya sebagai salah sebuah negara OIC yang berpengaruh menjuarai isu-isu seperti penindasan terhadap rakyat Palestin, Kashmir dan etnik Rohingya di Myanmar sedangkan ia menolak ratifikasi satu konvensyen yang bertujuan menghapuskan penindasan sedemikian?

Kenapa masih wujud golongan yang berfikiran cetek macam ini dalam negara yang hendak mencapai taraf negara maju?

Dan yang menghairankan ialah kenyataan oleh pemimpin parti yang bergelar Islam yang menyatakan bahawa konvensyen ini ialah agenda Freemason untuk menghancurkan Islam dan umat Islam.

Elok juga kita kemukakan kepada pemimpin berkenaan untuk pergi ke Palestin dan memberitahu supaya mereka juga keluar semula daripada zon ratifikasi ICERD ini kerana ia rancangan Freemason.

Begitu juga dengan minoriti-minoriti Muslim di negara lain yang amat berharap kepada konvensyen ini untuk memberikan sedikit pembelaan dalam suasana Islamophobia yang melanda dunia sekarang.

Dan yang memalukan ialah Malaysia merupakan antara 14 negara yang masih belum meratifikasi konvensyen ini. Ia tergolong bersama regim Korea Utara, Myanmar dan beberapa negara pulau di Pasifik beserta Brunei.

Hanya dua negara daripada kalangan negara anggota OIC yang masih meratifikasi ICERD dan salah satunya ialah negara kita.

Apakah ICERD ini bertentangan dengan aspirasi negara dan peruntukan-peruntukan dalam Perlembagaan?

Mereka yang berpandangan demikian sebenarnya mungkin malas membaca butiran dalam ICERD, justeru membuat kesimpulan ia akan menghakis asas-asas di dalam Perlembagaan termasuk menghapuskan Perkara 153.

Sebenarnya kalau mereka cuba membaca dan meneliti dokumen PBB itu mereka akan menjumpai Artikel 1 (4) yang mempunyai maksud yang sama dengan Perkara 153 Perlembagaan. Ia memberikan pengecualian kepada prinsip-prinsip lain dalam konvensyen tersebut.

Pakatan Harapan dalam manifestonya juga ada menyebut untuk beransur-ansur menukar dasar daripada pemberian kemudahan kerajaan mengikut kelompok kaum kpd pemberian mengikut keperluan.

Bukankah ini nanti menjadi terjemahan tepat terhadap peruntukan dalam Perlembagaan bagi menyediakan keperluan untuk kolompok-kelompok masyarakat yang tertinggal?

Apakah dengan terus memberi mereka yang sudah berjaya dan kaya raya itu dikira sebagai memenuhi aspirasi dan kehendak Perlembagaan?

Bagi saya, mereka yang membantah ini sebenarnya hanya membuat demikian kerana politik kelompok mereka.

Kita semua tahu bagaimana selepas kalah dalam pilihan raya lepas, Umno meningkatkan usaha memperalatkan sentimen perkauman sempit untuk terus hidup dalam politik negara.

Mereka yang memperalatkan isu-isu kaum dan agama bagi kepentingan politik tidak peduli apa jadi pada negara. Semua insiden yang menyusul hasil perbuatan mereka akan diletak tanggungjawab ke atas pihak yang berkuasa.

Aneh juga golongan ini. Mereka membantah penghapusan diskriminasi berdasarkan kaum tanpa menyedari dengan tindakan tersebut mereka pula bertukar menjadi juara mempertahankan diskriminasi kaum.

Selepas itu mereka “bersuara” apabila ada masyarakat lain khususnya umat Islam didiskriminasi dan ditindas di negara lain.

Dan apabila kerajaan mengambil keputusan untuk tidak meratifikasi ICERD sekarang, muncul pula kenyataan yang keputusan itu merupakan “pengakuan” bahawa konvensyen itu menjejaskan Perlembagaan sedangkan keputusan itu diambil kerana kerajaan tidak mahu mereka yang berkepentingan mengeksploitasi isu itu untuk menimbulkan rusuhan dan kekacauan supaya kerajaan PH jatuh.

Dalam keadaan sekarang di mana usaha di pihak kerajaan masih lemah untuk menerangkan apa itu ICERD, sebaliknya politikus oportunis menjaja ke seluruh negara bahawa ICERD akan menghancurkan bangsa dan agama, apakah pilihan yang ada bagi kerajaan?