Malaysia Dateline

ICERD : Jangan ganggu keselamatan & ketenteraman awam, kata KPN

Orang ramai diminta tidak membuat sebarang kenyataan atau bertindak dalam apa jua cara yang boleh menganggu-gugat keselamatan dan ketenteraman awam semasa berbincang mengenai isu ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD),

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, semua pihak diminta menggunakan saluran betul menyuarakan pendapat dan mematuhi undang-undang jika berhimpun membantah isu berkenaan.

Beliau berkata ini kerana isu ICERD telah  mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat.

“Dalam sesebuah negara demokrasi, rakyat Malaysia berhak dan bebas untuk menyuarakan pendapat dan pendirian mereka mengenai isu berkenaan.

Namun demikian, ia harus dibuat mengikut landasan undang-undang dan tidak sesekali boleh melampaui  batasan sehingga menyentuh sensitiviti rakyat berbilang kaum serta agama di negara Ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

“Kita juga harus yakin dengan komitmen kerajaan untuk mengambil kira pandangan semua pihak sebelum membuat sebarang keputusan berhubung ratifikasi ICERD berkenaan,” katanya.

Mohamad Fuzi berkata pihaknya akan menjalankan amanah untuk menjaga ketenteraman awam dan akan memastikan tidak wujud pelanggaran undang-undang daripada mana-mana pihak yang ingin mengambil kesempatan berhubung isu ini, bagi kepentingan agenda mereka.

Ahad lepas, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata pelaksanaan ICERD, sekiranya  dibuat, akan melibatkan pindaan Perlembagaan Persekutuan, dan perkara itu hampir mustahil untuk dilakukan tambahan pula memerlukan persetujuan majoriti dua pertiga anggota parlimen.

Soal sama ada Malaysia perlu meratifikasi ICERD telah mendapat bantahan daripada sebilangan wakil rakyat pembangkang dan kerajaan serta badan-badan bukan kerajaan kerana ia dikhuatiri boleh menjejaskan perkara-perkara yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

— BERNAMA