ICERD: Kaji secara mendalam sebelum dilaksana, kata MB Perlis

ICERD: Kaji secara mendalam sebelum dilaksana, kata MB Perlis
Datuk Seri Azlan Man.- Foto Utusanonline.

Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man meminta kerajaan persekutuan mengkaji dengan mendalam kesan mengiktiraf Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Beliau berkata perkara yang perlu diberi perhatian oleh kerajaan persekutuan ialah kesan jangka panjang kepada negara jika menerima pakai ICERD.

“Adalah tidak wajar kerajaan persekutuan membuat keputusan hanya kerana didesak oleh pihak tertentu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas program Jom Memancing Muafakat Komuniti Malaysia (MKM) di Kampung Wang Besar, Bintong di Kangar, Perlis hari ini.

Katanya tindakan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengadakan rundingan dengan melibatkan semua kaum adalah cara terbaik untuk menangani isu itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri P. Waytha Moorthy sebelum ini berkata Malaysia akan meratifikasi ICERD serta lima triti lain berkaitan hak asasi manusia seawal suku pertama tahun depan, dan kenyataannya menimbulkan keresahan beberapa pihak yang berpendapat pelaksanaan ICERD boleh menghakis hak keistimewaan orang Melayu dan bumiputera lain.

COMMENTS