Malaysia Dateline

ICERD: Kajian dan cadangan harus diumum lebih awal, kata Dr Zaidi

Kerajaan sepatutnya perlu mengumumkan kajian dan cadangan mengenai Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum atau (ICERD) lebih awal lagi, kata Ketua AMANAH Kawasan Permatang Pauh, Dr Zaidi Zakaria.

Jelas beliau lagi, kegagalan dalam proses membuat keputusan atau polisi menyebabkan tindak balas yang tidak sewajarnya dikalangan masyarakat.

“Adalah diyakini pada peringkat awalnya kerajaan benar-benar ingin meratifikasikan Icerd.

“Ini jelas dari kenyataan Menteri Perpaduan yang terawal mengumumkan Malaysia akan meratifikasikan Icerd dalam suku penggal pertama 2019.

“Sehubungan itu, Menteri Agama pula kemudiannya menyatakan kerajaan telah bersedia meratifikasikan Icerd setelah zahirnya ungkapan ‘tak faham Icerd jumpa saya’, ” ujarnya lagi.

Menurut Dr Zaidi lagi, kenyataan seterusnya adalah yang dikeluarkan oleh Menteri Luar yang menegakan rakyat tidak faham perlembagaan sehinggalah ia menjadi punca tentangan terhadap Icerd.

“Secara terang kenyataan beberapa Menteri menunjukkan kerajaan pada peringkat awalnya berhasrat untuk meratifikasikan Icerd.

“Namun begitu apabila semakin ramai yang mengkritik dengan hujah yang pelbagai termasuklah dari golongan peguam-peguam yang arif tentang perlembagaan, barulah nada kerajaan mulai berubah.

“Ini termasuklah dengan ungkapan masih diperingkat cadangan dan kajian yang membawa pengertian bahawa tiada apa-apa keputusan muktamad untuk meratifikasikan Icerd, ” tegasnya.

Malah kata beliau, sewajarnya kerajaan perlu dari awal lagi mengumumkan kajian keatas Icerd dan mengajak atau ‘engage’ masyarakat dalam bentuk diskusi, dialog, konferens, perbahasan, wacana, forum dan juga konsultasi.

“Dengan kaedah ini barulah, masyarakat sedar dan mudah menerima serta faham apa yang cuba diputuskan oleh kerajaan.

“Ini jugalah yang disebut proses membuat keputusan atau ‘decision making procedures’ dan proses mengimplimentasikannya.

“Pengumuman keputusan kerajaan tanpa konsultasi atau pun ‘engagement’ dengan rakyat dalam sesuatu isu tertentu dengan cara mengejut , sudah pasti akan wujud reaksi yang bukan kecil signifikannya, ” tambah beliau lagi.

Katanya lagi, sebetulnya rakyat tidak menolak reformasi yang ingin perkenalkan, tetapi rakyat perlu hadam dan faham kedudukan sebenar sebelum menerima keseluruhan idea pembaharuan yang ingin diimplimentasikan.

Maka itu sarannya, adalah diharapkan kerajaan lebih prihatin dan berhati-hati dalam mengumumkan sebarang keputusan.

“Dalam konteks era Malaysia Baru dan kebebasan bersuara, rakyat sebenarnya lebih berani dan kritikal kepada kerajaan.

“Walaupun ianya suatu perubahan yang baik, tetapi seandainya tidak dapat ditangani dengan sebaik mungkin, ia akan menampakkan kelemahan kerajaan.

“Rentetan itu bagi memantapkan Pakatan Harapan maka reformasi mengenai sebarang polisi haruslah mendapat tindak balas rakyat terlebih dahulu melalui pelbagai kaedah dan cara yang boleh dilaksanakan, ” kata beliau lagi.