ICERD: Keresahan orang Melayu juga berasas, kata Anwar Ibrahim

ICERD: Keresahan orang Melayu juga berasas, kata Anwar Ibrahim

Presiden PKR Anwar Ibrahim mengulangi pendirian tentang perlunya kerajaan menangguhkan terlebih dahulu keputusan untuk meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Berucap di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya (UM), Anwar berkata, penerimaan ICERD hanya boleh dipertimbangkan jika tidak menjejaskan kedudukan Islam dan Melayu.

“Ada beberapa peruntukan membimbangkan tentang Perkara 153, Perkara 152.

“Cadangan kita untuk menangguhkan (ICERD). Jangan dipaksakan sebab keresahan orang Melayu juga berasas kerana dalam fahaman kita masyarakat Melayu, ini sudah disepakati.

“Ini (kedudukan Melayu dan Islam) sudah menjadi integral dalam kontrak sosial dan termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” tegasnya dalam Syarahan Za’ba Pengajian Melayu’ di universiti itu.

Bertemakan “Melayu dan Islam dalam Era Malaysia Baharu”, Anwar berkata, negara ini tidak boleh lari daripada landasan Melayu dan Islam.

“Saya mahu keadilan bagi semua rakyat tetapi tidak boleh melunturkan kecintaan saya kepada kaum dan budaya saya serta keyakinan saya dalam Islam,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau pada masa sama berkata, tidak mahu melihat penindasan ke atas mana-mana rakyat Malaysia.

“Saya anti diskriminasi. Saya tidak bersetuju dengan faham perkauman. Saya mahu rakyat Malaysia – Melayu, Cina, India, Sabah, Sarawak merasakan mereka ini punya hak untuk membangunkan negara kita bersama.

“Namun, saya juga menekankan bahawa Islam sebagai agama Persekutuan yang harus dihayati, dikembangkan dan diberi kefahaman yang lebih.

“(Islam) bukan hanya slogan. Kita bangga dengan Islam sebagai agama Persekutuan tetapi rompakan besar pun (1MDB) di negara yang Islam sebagai agama Persekutuan,” ujarnya lagi.

Kira-kira 1,000 peserta di Dewan Semarak menyaksikan syarahan bakal Perdana Menteri Kelapan itu selain disiar secara langsung menerusi Facebook Universiti Malaya.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Sasterawan Negara, A Samad Said dan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil.