ICERD: Pas-Umno mainkan isu perkauman bukan selesaikan isu rakyat

ICERD: Pas-Umno mainkan isu perkauman bukan selesaikan isu rakyat
Faiz Fadzil

Himpunan membantah ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk DIskriminasi Kaum (ICERD) oleh Pemuda Pas-Umno semalam, membuktikan hala tuju kedua-dua parti berterusan memainkan isu perkauman, kata Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Faiz Fadzil.

“Himpunan itu membuktikan kerjasama erat selama ini antara Pas dan Umno semakin intim, tambahan pula himpunan diadakan oleh sayap pemuda kedua-dua parti yang jelas menunjukkan halatuju parti Pas untuk terus bekerjasama dengan umno.

“Malah halatuju politik kedua-dua parti ini semakin jelas hanya berupaya berbicara soal perkauman, sedangkan tiada isu rakyat yang mampu mereka perjuangkan.

“Berbeza dengan Pakatan Harapan yang sentiasa mencari jalan bagaimana mahu selesaikan isu rakyat terutama ekonomi, pekerjaan, perumahan dan pendidikan,” ujarnya kepada Malaysia Dateline.

Beliau berkata, ICERD tidak akan menjejaskan hak istimewa orang Melayu, Bumiputera dan Raja-Raja Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan yang mana ia tidak boleh diganggugugat oleh mana-mana undang-undang antarabangsa.

Justeru katanya ICERD perlu dibincangkan secara holistik membabitkan semua pihak di negara ini.

“Isu ini perlu dibincang cara baik, oleh semua pihak dan hak orang Melayu termaktub dalam perlembagaan tidak boleh disentuh kerana perlembagaan adalah kontrak sosial kepada rakyat Malaysia yang memberikan hak masing-masing pada setiap kaum di negara ini.

“Sama ada ratifikasi ICERD itu perlu diluluskan, kajian lanjut dari sudut undang-undang negara perlu dilakukan terlebih dahulu,” ujarnya.

Semalam Pemuda Pas-Umno berhimpun membantah ICERD dengan lebih kurang 1,500 perserta berarak dari Masjid Jamek ke Sogo sambil melaungkan ‘takbir’ dan ‘tolak ICERD’.

Himpunan itu turut disertai Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua Pemuda Pas Muhammad Khalil Abdul Hadi  (gambar atas).

Pendirian Pemuda AMANAH

Ditanya mengenai pendirian Pemuda AMANAH ke atas ICERD, beliau berkata, sehingga kini pemuda tidak membincangkan isu itu secara rasmi.

Ahli Dewan Undangan Negeri Permatang Pasir ini berkata, dalam membina Malaysia Baharu semua pihak perlu melihat kepada keadilan sosial dan ekonomi yang seimbang untuk semua kaum di negara ini.

“Bagi saya apa saja yang termaktub dalam perlembagaan perlu dijunjung dan itu juga dasar yang dibuat Pakatan Harapan untuk mempertahankan Perlembagaan.ICERD itu bukan mudah untuk kita ratifikasikan kerana ia membabitkan undang-undang.

“Perlembagaan kita adalah yang terbaik untuk kepentingan semua kaum maka ICERD itu perlu konsisten dengan perlembagaan, jika ICERD tidak konsisten dengan perlembagaan, kerajaan hari ini tidak perlu lakukan ratifikasi,” ujarnya.

Tambahnya lagi bantahan dilakukan pihak-pihak tertentu mengenai ICERD kerana isu sudah dipolitikkan untuk kepentingan pihak tertentu.

“Rakyat membantah kerana politik dimainkan. Bagi saya ICERD perlu dibahaskan di Parlimen,” ujarnya lagi.

Pada 24 Oktober, Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waythamoorthy dilaporkan berkata, kerajaan komited untuk meratifikasi ICERD dan lima lagi konvensyen hak asasi manusia PBB pada tahun depan.

Bagaimanapun Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan hanya akan meneruskannya selepas berunding dengan semua kaum.

Ia mencetuskan kemarahan beberapa pihak yang rata-ratanya berkata ICERD bertentangan dengan hak istimewa bumiputera dan akan mengancam kedudukan Raja-raja Melayu.