Malaysia Dateline

ICERD: Tiga persoalan utama antara realiti dan prinsip perlu dihalusi, kata Mufti Perlis

Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) sangat perlu dilihat dalam tiga persoalan penting sebelum mana-mana pihak membantah dan kerajaan meratifikasikannya, kata Mufti Perlis Datuk Dr Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin

Beliau berkata, pertamanya semua pihak perlu melihat sejauh manakah keselarasan hasrat dan semangat konvensyen tersebut dengan Islam?

“Realiti dunia hari ini menunjukkan sikap yang tidak adil atas asas perbezaan bangsa dan agama di peringkat antarabangsa.

“Sekalipun mereka menandatangani ICERD tetapi mereka tetap menindas serta tidak adil. Penindasan Israel ke atas rakyat Palestin sejak dahulu tidak diambil tindakan yang tegas.

“Bahkan Amerika sentiasa membela Israel. Demikian penindasan Negara China terhadap penduduk Kaum Uighur yang muslim di Wilayah Xinjiang. Di India, penindasan terhadap penduduk dan rakyat muslim oleh Pemerintahan Narendra Modi sekarang.

“Peliknya, sikap diskriminasi Kerajaan India ini disokong kuat oleh beberapa pemimpin politik di Malaysia. Malangnya, di sini, mereka bercakap tentang keadilan dan hak sama rata, untuk India, mereka ada alasan yang lain.

“Semangat ICERD itu sebenarnya memang telah menjadi pegangan Umat Islam yang bersumberkan al-Quran dan al-Sunnah. Sepatutnya Umat Islam tidak memerlukan ICERD atau untuk berpegang dengan tujuan ICERD ini,” ujarnya sperti dalam kenyataan di facebooknya hari ini.

Kedua kata beliau lagi, apakah realiti dunia hari ini tentang diskriminasi kaum dan agama yang selaras dengan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) iaitu mengutuk semua manifestasi dan amalan kebencian atas asas kaum, agama dan negara?

“Setiap kali ketidakadilan dunia terhadap Umat Islam, tidak diberikan pembelaan yang adil. Lihat di Myanmar, Palestin, China, India dan lain-lain.

“Dunia tidak lantang memperkatakan tentang perlanggaran hak kemanusiaan dan diskriminasi jika ia membabitkan Umat Islam. Ini merupakan realiti yang dapat kita saksikan.

“ICERD gagal menghalang mereka.Dalam ertikata lain, sekalipun ICERD telah diratifikasikan oleh kebanyakan negara dalam dunia ini, namun penindasan dan diskriminasi kaum terus berlaku. Sikap diskriminasi kaum dilakukan terutama oleh negara-negara yang kuat. Sering kali mereka justifikasikan hal itu atas nama memerangi pengganas,” ujarnya.

Dan ketiga apakah latar sejarah dan realiti Malaysia jika dilaksanakan perincian ICERD tersebut?

“Malaysia mempunyai realiti yang luarbiasa. Jika ICERD membincangkan tentang hak setiap rakyat yang berbeza latar kaum dan selainnya di bawah sesuatu negara, Tanah Melayu telah memberikan hak kewarganegaraan kepada mereka yang berasal dari India dan China dengan begitu mudah sekali.

“Tanpa ICERD bahkan mengatasi ICERD. Tiada seperti Tanah Melayu ini. Tanpa sebarang peperangan kaum dan tanpa sebarang kekejaman seperti yang berlaku dalam kebanyakan negara-negara di dunia ini.

“Orang Malayu telah mengambil pendekatan yang sangat berbeza iaitu hampir 1juta individu yang bertaraf tiada kerakyatan (stateless person) telah diberikan kewarganegaraan oleh Tanah Melayu. Kebanyakan mereka berasal dari China dan India. Ketinggian budi dan sikap pemurah ini ini sukar didapati di mana-mana bumi melainkan di Tanah Melayu.

“Sejak dahulu, kaum selain Melayu dapat hidup dengan aman di Tanah Melayu. Mereka menjadi saudagar besar dan membuka perniagaan sekalipun di tengah-tengah kampung Melayu. Mereka tidak dilayani sebagai musuh atau dizalimi. Orang Melayu memanggil orang Cina ‘taukeh’ sebagai panggilan untuk orang yang kayu atau peniaga. Orang Cina kaya raya, peniagaan mereka tidak diganggu. Demikian juga Kaum India. Adapun peristiwa 13 Mei 1969, ia mempunyai latarnya yang tersendiri. Namun, secara umum layanan dan hubungan kaum di Malaysia sangat baik,” ujarnya.

Katanya lagi, dengan kedatangan dan pemberian kerakyatan terhadap kaum-kaum lain dengan mudah, telah menyukarkan orang Melayu yang bukan berlatar pedagang bersaing dengan kaum lain. Di samping banyak kelemahan orang Melayu itu sendiri yang perlu dibaiki.

“Sebagai sikap yang adil atas keluhuran budi Kaum Melayu maka hak istimewa Orang Melayu sebagai tuan rumah, dalam kerangka yang adil tanpa menindas pihak lain adalah wajar.

“Maka, jika PBB mengiktiraf Affirmative Action (tindakan afirmatif) sebagai ‘Positive Discrimination’ dalam pelbagai negara bagi menjaga kepentingan kaum-kaum yang tertindas untuk diberikan keistimewaan supaya berdaya saing maka tidaklah ganjil jika Kaum Melayu yang merupakan tuan asal Tanah Melayu yang bersikap pemurah itu diberikan ruang di bawah Positive Discrimination.

“Selagi mana tidak menzalimi pihak lain, maka a sesuatu yang wajar jika dinilai dari latar sejarahnya.

“Banyak bangsa dalam dunia ini telah membuktikan sikap diskriminasi yang melampau. Sejarah Eropah, Amerika, UK, China, India dan selain lain telah membukti mereka menindas kaum selain dari bangsa mereka yang kuat atau majoriti.

“Bahkan ketika mereka minoriti pun, kaum kulit putih melaksanakan dasar Apatheid di Afrika Selatan. Di Eropah Nazi dan Yahudi. Demikianlah kaum kulit putih Amerika dan UK terhadap kaum kulit hitam. Padahal mereka sendiri yang membawa bangsa kulit hitam ke negara mereka. Begitu dahsyat sejarahnya.

“Namun tidak di Malaysia. Sekalipun bukanlah Orang Melayu yang menjemput ataupun mengajak Kaum Cina dan India ke Tanah Melayu, namun orang Melayu orang asing yang datang ke tanah mereka. Lebih dari itu, mereka memberikan hak sebagai warga negara tanpa ditumpah setitis darah pun.

“Secara perbandingan, toleransi antara kaum, khususnya Kaum Melayu terhadap kaum-kaum yang dari segi sejarahnya berasal dari luar, kualiti toleransi Melayu sekalipun tanpa ICERD jauh lebih baik dari kebanyakan negara di dunia ini.” ujarnya.

Tonton disini: