Malaysia Dateline

ICT permudahkan urusan ibadah Haji

Semasa berjalan pulang ke pusat media selepas liputan musim haji di sini, penulis disapa dua jemaah haji warga emas wanita yang kelihatan begitu sedih dan risau.

Zainab Hanapiah, 78, dan Maimunah Abdullah, 73, masing-masing mengadu telefon pintar mereka tidak mempunyai sambungan internet untuk berhubung dengan keluarga mereka di tanah air.

Ternyata Zainab, dari Kodiang, Kedah, dan Maimunah dari Batu Pahat, Johor bukan asing dalam menggunakan aplikasi telefon pintar WhatsApp dan laman sosial Facebook.

Apabila diperiksa, penulis dapati telefon pintar Zainab agak asas kerana aplikasi Whatsappnya hanya perlu dikemas kini dengan versi baharu, manakala telefon pintar Maimunah memerlukan penukaran ‘access point’ kepada penyedia telekomunikasi tempatan, Mobily.

Kisah jemaah haji ini hanyalah salah satu daripada pelbagai contoh betapa perkembangan pantas Teknologi Komunikasi dan Maklumat (ICT) membawa banyak manfaat pada musim haji di sini dan melancarkan urusan umat Islam untuk menunaikan Rukun Islam kelima itu.

Seramai 30,200 jemaah haji Malaysia dilaporkan akan mengerjakan ibadat haji tahun ini dengan dibantu 640 orang petugas Lembaga Tabung Haji (TH).

Petugas syarikat telekomunikasi Mobily, Abdul Razzif, 26, (kanan) membantu sekumpulan jemaah haji Malaysia menambah nilai dan ‘setting’ telefon pintar mereka.

Talian Hayat Keluarga

Saya berasa bersyukur dapat membantu kedua-dua jemaah haji wanita itu dan sebaik sahaja berjaya menyelesaikan masalah telefon pintar mereka, mesej Whatsapp “bertalu-talu masuk”. Saya melihat betapa leganya mereka tatkala melihat mesej daripada keluarga tersayang.

Zainab yang membahasakan dirinya “makcik” menceritakan kepada penulis betapa aplikasi itu bagaikan talian hayat buat dirinya untuk memberitahu keluarga di tanah air keadaan kesihatannya di tanah suci selain berkongsi nanti pelbagai pengalaman baharu semasa mengerjakan ibadah haji.

“Amat mudah hendak hubungi keluarga. Masa dulu nak hubungi keluarga kena guna telefon tetapi hanya dengar suara sahaja. Sekarang dengan gambar, video selain suara dan teks semua makcik boleh hantar. Rasa puas dapat buat begini macam keluarga makcik ada sekali kat sini,” katanya.

Maimunah pula berkata perkembangan komunikasi yang pantas era ini membuat jemaah haji warga emas seperti dirinya mengambil inisiatif untuk mempelajari teknologi terbaharu bagi memudahkan mereka berkomunikasi dengan keluarga tersayang di tanah air.

Ketua Rombongan Haji Malaysia Datuk Seri Syed Saleh Syed Abd Rahman (tiga, kanan) meninjau kemundahan teknologi maklumat komunikasi di Pusat Media, Ibu Pejabat Lembaga Tabung Haji Makkah di Abraj Janadriah baru-baru ini.

“Pada mulanya agak susah juga nak belajar telefon baharu ini tetapi pelan-pelan anak makcik ajar. Dulu orang pakai telefon biasa boleh cakap-cakap sahaja tetapi sekarang macam-macam boleh buat jadi semua jemaah haji tidak kira usia kena belajar guna telefon seperti ini,” katanya.

Bagi memudahkan komunikasi jemaah haji terutama menghubungi keluarga mereka tahun ini, TH menjalin kerjasama dengan syarikat telekomunikasi Arab Saudi iaitu Mobily. Menerusi program Sahabat Korporat TH, jemaah haji Malaysia diberi kad sim prabayar.

Setelah pengaktifan kad prabayar Mobily dilakukan, jemaah haji hendaklah menambah nilai kredit kepada akaun yang didaftarkan serendah 5 Saudi Riyal bagi mendapatkan 2GB data percuma selama tiga hari mengikut keperluan masing-masing.

Mudahkan Jemaah

Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abd Rahman dalam temu bual eksklusif dengan Bernama berkata pihak TH melihat kemajuan ICT masa ini satu peluang keemasan untuk memperkenalkan kemudahan baharu bagi melicinkan perjalanan urusan ibadah haji.

Menurut beliau, TH mengambil peluang itu melalui dua cabang iaitu memudahkan perjalanan haji secara terus dengan memperkenal pelbagai aplikasi untuk jemaah haji serta menambah baik kemudahan komunikasi dan tranformasi operasi haji sebelum ini dilakukan secara manual kepada penggunaan komputer.

“Kita perkenal aplikasi untuk jemaah haji supaya boleh dapatkan maklumat terkini dan asas daripada segi lokasi tempat perkhidmatan yang disediakan termasuk juga memberi panduan ibadat. Saya rasa ini buat permulaan dan seharusnya diteruskan pada masa akan datang,” katanya.

TH membangunkan Aplikasi Jemaah 1440H bersama anak syarikatnya, Theta Edge Berhad. Menerusi aplikasi itu, maklumat penting serta terkini dihantar kepada jemaah haji melalui telefon pintar dengan sistem operasi Android, seterusnya membantu jemaah menjalankan ibadah dan melancarkan urusan haji mereka.

Maklumat yang disalurkan kepada jemaah haji termasuk berita terkini, maklumat jadual perjalanan setiap jemaah haji, bimbingan ibadah haji yang mana melalui aplikasi itu jemaah haji boleh memuat turun semua bahan bimbingan, waktu solat, nombor penting dan lokasi melalui Google Maps.

Di samping itu, TH menyediakan sebuah platform pertanyaan menerusi aplikasi WhatsApp diberi nama e-Taib bagi membolehkan jemaah haji mendapatkan jawapan kepada persoalan ibadah haji dengan pantas dan berkesan.

“Sebelum ini jemaah haji mengemukakan persoalan mengenai ibadah haji menggunakan Talian Ibadah Haji (Taib) iaitu panggilan telefon. Menerusi aplikasi WhatsApp ini persoalan dan jawapan boleh dibuat menggunakan teks, gambar, video atau mesej suara,” katanya.

Lancarkan Proses Kerja

Syed Saleh berkata dalam usaha mentransformasi pengurusan haji, pihaknya mengadaptasi pelbagai kemajuan ICT daripada industri berkaitan haji seperti perhotelan, pengangkutan, khidmat pelanggan, kesihatan dan pengangkutan.

“Apa kita bangunkan lebih untuk melicinkan proses kerja daripada segi pelaporan, daripada segi ‘dashboard’, daripada segi ‘headcount’, pemantauan aktiviti proses kerja semuanya dalam bentuk sistem teknologi maklumat dan ini saya rasa telah memudahkan kerja selain mengurangkan pelaporan atas kertas.

“Kita ambil teknologi ini dalam pelbagai industri antaranya perhotelan bagaimana mereka menguruskan bilik penginapan, pengangkutan bagaimana mengurus pengangkutan penumpang, ‘call centre’ khidmat pelanggan kita ambil bantu jemaah terutama untuk ibadat,” katanya.

Pengarah Operasi (Teknologi Maklumat) TH, Za’aba Arpan berkata pihaknya melaksanakan beberapa penambahbaikan infrastruktur serta kemudahan teknologi maklumat (IT) dalam usaha memastikan kelancaran operasi haji tahun ini.

Beliau berkata TH menaik taraf talian di pusat rawatannya di sini dengan menggunakan gentian optik, menaik taraf Sistem Maklumat Kesihatan (SIHAT) berpandukan maklum balas operasi tahun lepas dan membangunkan Sistem Kamar bagi membolehkan peruntukan bilik jemaah haji dibuat lebih sistematik.

“Kita turut menguji beberapa aplikasi sistem utama iaitu Sistem Haji dan Deposit, SIHAT, yang melibatkan pasukan perubatan; Sistem Bersepadu yang akan menyediakan statistik jemaah haji bagi keperluan operasi; dan Sistem Hajj Mobility bagi memastikan pergerakan jemaah haji direkodkan,” katanya.

Maklumat Tepat

Bagaimanapun menurut beliau, kemajuan ICT juga punyai kesan negatif sekiranya tiada usaha pemantauan dijalankan terutama melibatkan penyebaran maklumat dalam media sosial, dalam hal ini tidak terkecuali perjalanan haji.

Justeru, Syed Saleh menasihatkan jemaah haji dan waris mereka di tanah air agar tidak mempercayai sebarang khabar angin tentang perkembangan perjalanan haji dan hanya mendapatkan maklumat daripada sumber yang boleh dipercayai.

Beliau berkata pasukan media yang terdiri daripada petugas media Malaysia dan TH memainkan peranan penting dalam menyalurkan maklumat yang tepat dengan kadar pantas kepada jemaah haji serta warisnya tentang perjalanan musim haji tahun ini.

TH juga, kata beliau mempunyai pasukan media yang memantau isu yang dibangkitkan pengguna media sosial dan akan memberikan penjelasan sebenar berhubung perkara yang dibangkitkan itu.

“Kita faham ada isu cuba diputar belitkan. Pasukan media akan beri gambaran betul supaya isu ini tidak disalah erti oleh masyarakat. TH sendiri ada pelbagai platform media sosialnya sendiri seperti akaun Twitter, Facebook dan Instagram, “ tambahnya.