Malaysia Dateline

ICU Hospital Sultanah Bahiyah tidak pernah ditutup

Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, yang menempatkan pesakit Covid-19 tidak pernah ditutup dan mereka yang bertugas senantiasa bersedia berhadapan dengan sebarang kemungkinan walau apa jua situasi.

Demikian dinyatakan oleh Exco Kesihatan, Pembangunan Luar Bandar, Agama dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) Negeri Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh.

Malah kata beliau lagi, terdapat beberapa kekeliruan dalam kalangan sesetengah pihak sehinggakan ada yang mendakwa kononnya ICU di hospital tersebut ditutup.

“Sebenarnya apa yang telah berlaku tatkala ini tiada lagi pesakit Covid-19 yang dirawat di ICU hospital tersebut setelah kesemua mereka pulih dan telahpun dipindahkan ke wad biasa.

“Namun begitu ia tidak bererti bahawa ICU Hospital Sultanah Bahiyah ditutup dan semua pihak senantiasa siap siaga serta berharap masyarakat akan lebih berhati-hati sebelum menyebarkan sebarang berita.

“Statistik yang dikeluarkan sehingga semalam menunjukkan hanya terdapat satu kes baharu iaitu kes import melibatkan warganegara United Kingdom disepanjang tempoh 10 hari kebelakangan ini,” tegas beliau.

Ujar Dr Ismail lagi, kejayaan menyekat penularan wabak Covid-19 di Kedah serta juga seluruh negara telah mula memperlihatkan kes baharu di bawah angka 100 sejak beberapa hari yang lalu dan kerjasama semua pihak mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Tambahnya, statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Kedah sehingga semalam menunjukkan hanya terdapat sembilan kes aktif yang masih lagi dirawat di negeri ini.

Sejajar dengan itu katanya, sekiranya situasi berkeadaan baik ini berterusan, tidak dapat dinafikan kemungkinan lebih banyak sektor penting akan dibenarkan beroperasi secara berperingkat.