Malaysia Dateline

Idea gabungan besar bakal diperinci bulan depan

Pakatan Harapan (PH) bakal mengadakan perbincangan mengenai idea pembentukan grand coalition atau gabungan besar parti pembangkang bulan depan.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, parti itu pada dasarnya bersetuju parti pembangkang perlu bersatu dan bekerjasama untuk memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

“Sekiranya bersatu, kita memiliki lebih banyak peluang untuk menang dan menentang Perikatan Nasional (PN).

“Mungkin Januari ini kita bertemu dan berbincang terlebih dahulu,” katanya ketika ditemui media selepas membuat tinjauan hari terakhir perkhidmatan feri di Pangkalan Raja Uda di Georgetown hari ini.

Ahli Parlimen Bagan berkenaan bagaimanapun enggan memberitahu perincian perbincangan itu.

Dalam masa sama, Guan Eng berkata, Presiden AMANAH, Mohamed Sabu pada 26 Disember lalu menyatakan bersedia untuk menyatukan parti-parti pembangkang.

Menurut Guan Eng, idea gabungan besar parti pembangkang itu adalah sebahagian daripada pensejajaran semula politik yang dinyatakan sebelumnya dalam kenyataan bersama pada 17 Disember lalu.

Bagaimanapun, kenyataan itu, katanya, disalahtafsirkan oleh pihak tertentu yang mendakwa bahawa akan terdapat perubahan dalam kepemimpinan PH.

Selain PH yang terdiri daripada AMANAH, PKR dan DAP, komponen blok pembangkang termasuk Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Parti Warisan Sabah (Warisan), Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Parti Sarawak Bersatu (PSB) dan Ikatan Demokratik Malaysia (Muda).