Malaysia Dateline

Idea “grand coalition” disokong, lupakan kejar bayang-bayang sendiri!

Peringatan agar pembangkang mengukuhkan persefahaman sesama sendiri dan memantapkan persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), sekali gus melupakan janji-janji manis Umno untuk menyokong penubuhan kerajaan baharu, amat kena pada masanya.

“Pakatan Harapan (PH) seharusnya tidak membuang masa dengan Ahli Parlimen kerajaan oportunis dan hanya memperalatkan PH demi kepentingan peribadi mereka sendiri agar memperolehi tawaran yang lebih lumayan daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN),” kata dua pemimpin utama PH, Mohamad Sabu dan Lim Guan Eng.

Kenyataan bersama ketua-ketua AMANAH dan DAP itu dikeluarkan selepas tiada seorang pun wakil rakyat Umno menolak Belanjawan 2021, menyaksikan undi 111 menyokong dan 108 menentang.

Pemerhati politik sejak awal lagi menyifatkan jaminan sokongan Umno kepada Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim, sekadar memperalatkan PH demi kepentingan politik atau sebagai tawar-menawar dengan kerajaan pintu belakang pimpinan Muhyidin Yassin.

Bukan rahsia lagi, Umno-Bersatu bertelingkah di atas agihan jawatan dan sumber dalam kerajaan. Umno rasa dibuli walaupun mempunyai Ahli Parlimen lebih ramai, manakala ramai pemimpin kanannya berdepan kes mahkamah yang serius.

Kedua-dua parti itu sedang bersaing sengit untuk merampas kedudukan parti Melayu paling berpengaruh. Menjadikan kerajaan PN paling rapuh dan hanya sibuk mempertahankan kuasa dengan majoriti paling tipis, iaitu hanya tiga undi.

Tiga parti teras dalam PH dan pembangkang berjumlah 108 Ahli Parlimen yang menolak Belanjawan 2021 wajar merintis kepada 8220grand coalition8221 dalam mendepani PRU15

Dalam keadaan PN bergolak dalaman, Muafakat Nasional (MN) Umno-Pas turut menerima tempiasnya, saling syak wasangka dan mencurigai langkah masing-masing.

Di pihak PH juga ditusuk penyakit sindir-menyindir dan terbelenggu dengan faktor kem Anwar dan kumpulan Mahathir. Idea yang dilontar untuk mengukuhkan gabungan kerap ditafsir secara negatif. Asas kepercayaan sudah retak teruk.

Hasilnya gagasan sebaik “grand coalition” sesama pembangkang, dengan meletakkan asas daripada 108 Ahli Parlimen yang menolak Belanjawan 2021, itu pun menimbulkan polemik yang tidak produktif.

Cerita-cerita yang lebih kepada imaginasi liar dijadikan hujah yang menajamkan lagi perbedaan. Memang sikap berhati-hati itu penting tetapi apabila dilakukan secara keterlaluan, ia hanya membataskan wilayah pengaruh dan mungkin menyudutkan PH ke penjuru sempit.

Penyokong Mahathir dan parti-parti kecil di luar kerajaan mempunyai potensi positif untuk pembangkang berdepan dengan PN.

Episod runtuhnya kerajaan PH pada hujung Februari 2020, Langkah Sheraton dan peletakan jawatan perdana menteri sering dijadikan sandaran untuk menuduh Mahathir sebagai “pengkhianat”.

Biarpun ada penafian dan penjelasan, namun ramai percaya Mahathir bertindak sebagai arkitek kepada tumbangnya kerajaan mandat rakyat itu. Bagasi sejarah pemerintahan Mahathir, termasuk selama 22 tahun dahulu, terutama pada era Reformasi, memberi impak besar kepada sebahagian penyokong PH yang kecewa.

Justeru, setiap aksi Mahathir sentiasa dipandang penuh curiga. Beliau didakwa “bapa segala konspirasi” termasuk untuk menjatuhkan kerajaannya dan kerajaan anaknya sendiri di Kedah.

Selain penolakan terhadap Mahathir dan Presiden Warisan, Shafie Apdal, ramai juga yang memandang sinis kepada parti Pejuang dan Muda yang belum diterima pendaftarannya itu.

Yang peliknya, sikap double standard dan pilih-kasih Pendaftar Pertubuhan tetapi dihempukkan bebanan itu kepada mangsa (Pejuang dan Muda).

Sewajarnya, tangan kita terbuka untuk merangkul sekutu yang lebih ramai tanpa memperlekeh parti-parti yang nampak kecil. Lihatlah sejarah Barisan Nasional (BN) semasa berkuasa dahulu, merangkumi 14 parti termasuk yang kurang berpengaruh tetapi sumbangan masing-masing masih diraikan.

Idea pembangkang kuat hanya dengan tiga parti reformasi — PKR, AMANAH dan DAP — merupakan cebisan daripada perasaan terlalu yakin diri yang perlu diperbetulkan.

Memang penyokong Mahathir dan parti-parti kecil di luar kerajaan itu ada karenah tersendiri dan perlu diurus dengan bijaksana, tetapi ia juga mempunyai potensi positif.

Pembangkang perlu terbuka untuk merangkul sekutu seperti Pejuang dan Muda.

Pimpinan utama PH pula sudah teruji kebijakan masing-masing untuk merundingi agihan kerusi PRU15 nanti. Usah mudah labelkan mereka dengan jolokan negatif.

Sekurang-kurangnya, PN kini menghimpunkan parti-parti besar Melayu. Justeru, di pihak pembangkang, PH yang nampak agak lemah dalam konstituensi Melayu perlu bergerak lebih pantas; masa tidak menyebelahi mereka.

“Grand coalition” memerlukan waktu yang munasabah sebelum ia serasi bergerak sebagai satu pasukan yang ampuh. Rujuklah perjalananan dan eksperimen PH sebelum PRU14 dahulu.

Memang segalanya tidak mudah, ada-ada sahaja pancaroba dan mehnahnya. Penyokong pula bebas meluahkan pendapat atau mempertahankan pendirian masing-masing.

Zaman langit terbuka tentu ada bingit dengan simpang-perenang idea. Akhirnya pimpinan terpaksa memutuskan yang terbaik untuk menyelamatkan negara dan melonjakkannya ke liga lebih atas.

Dan saya mohon menyokong gagasan “grand coalition” ini, dengan penentuan agenda lebih jelas dan tegas!